Majlis Peguam muktamd dua aduan babit firma terima rasuah sebelum kemuka ke lembaga tatatertib

LocalPolitics
24 Nov 2025 • 12:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Majlis Peguam sedang memuktamadkan dua set aduan untuk difailkan kepada Lembaga Tatatertib Peguam dan Peguambela susulan kes membabitkan peguam atau firma guaman yang didakwa terbabit dalam perbuatan rasuah melibatkan urusan pembiayaan pinjaman bank, baru-baru ini.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab ketika dihubungi Scoop berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti beberapa perkara berkaitan aduan yang masih berbaki.

"Agensi penguatkuasaan telah memberikan kerjasama yang sangat baik, dan kami berharap dapat menyiapkan dokumen tersebut secepat mungkin," katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua aduan membabitkan firma guaman yang sama, Mohamad Ezri enggan berkongsi perincian itu buat masa ini.

Jumaat lalu Majlis Peguam dalam satu kenyataan menegaskan akan mengambil tindakan mengemukakan aduan tatatertib terhadap mana-mana peguam atau firma guaman yang didakwa terbabit dalam perbuatan rasuah melibatkan urusan pembiayaan pinjaman bank, baru-baru ini.

Mohamad Ezri berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media baru-baru ini mengenai beberapa pegawai bank didakwa kerana menerima rasuah daripada sebuah firma guaman.

"Perkara ini amat serius kerana ia menjejaskan kepercayaan awam, bukan sahaja terhadap institusi kewangan tetapi juga terhadap integriti profesion guaman.

"Majlis Peguam Malaysia secara tegas mengutuk semua bentuk rasuah. Integriti dan kebebasan ialah tonggak penting profesion guaman dan apa-apa kelakuan yang menjejaskan nilai ini tidak boleh dimaafkan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan 10 pegawai dan bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah daripada beberapa firma guaman sebagai balasan mencadangkan mereka sebagai penyedia dokumen pembiayaan perumahan.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Majlis Peguam Malaysia menegaskan kekal komited mempertahankan maruah profesion guaman dan mengekalkan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.

"Kami merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa kerana menangani perkara ini dengan tahap keseriusan yang sewajarnya.

"Tindakan tegas mereka menghantar mesej jelas bahawa rasuah tidak akan ditoleransi dan setiap pihak yang terlibat mesti bertanggungjawab.

"Kami akan terus bertindak tegas dan bertanggungjawab untuk menjunjung profesion guaman serta segala nilai yang didukungnya," katanya. - 24 November, 2025

The post Majlis Peguam muktamd dua aduan babit firma terima rasuah sebelum kemuka ke lembaga tatatertib appeared first on Scoop.