Majlis Penasihat Wanita Sabah sasar lahir lebih ramai wanita berwibawa

LocalPolitics
28 May 2025 • 10:57 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Kazalinah Kamaludin

Kota Kinabalu: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) memperkukuh kesediaan wanita di negeri ini bagi memegang jawatan penting dalam pelbagai bidang, termasuk politik, sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat.

Pengerusinya yang baharu dilantik Datuk Rosmawati Lasuki berkata perwakilan wanita perlu dinilai berdasarkan merit dan bukannya sekadar memenuhi kuota.

“Kita mahu melahirkan wanita yang mempunyai kualiti kepimpinan yang lengkap, bukan hanya sebagai calon politik, tetapi juga sebagai pengurus besar, ketua pegawai eksekutif dan sebagainya.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“MPWS sebagai badan pemikir kerajaan bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) perlu meneliti apa yang boleh dilakukan untuk mencapai hasrat kerajaan bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita sebagai pembuat keputusan.

“Kami akan melihat aspek-aspek yang perlu ditambah baik supaya sasaran ini dapat dicapai kerana kami mahu wanita yang diberi peluang memegang jawatan mampu melaksanakannya dengan baik.

“Jika tidak, ia akan menjejaskan peluang wanita lain untuk diberi kepercayaan menjawat jawatan itu,” katanya pada Majlis Hi-Tea Jhewa dan MPWS Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Menurut Rosmawati, perkara itu sejajar dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang mahu MPWS memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan politik.

Tambahnya, di bawah bidang pendidikan, MPWS memberi penekanan kepada pelan pengganti untuk membangunkan kepimpinan wanita pada masa depan.

“Dalam aspek keusahawanan pula, kami menyasarkan untuk membantu usahawan wanita negeri ini menembusi pasaran luar.

“Pasaran tempatan di Sabah agak kecil dengan hanya sekitar empat juta penduduk. Namun, jika kita melihat kepada pasaran Asean Timur yang merangkumi Filipina, Indonesia dan Brunei potensinya mencecah hampir 90 juta orang.

“Peranan MPWS adalah untuk mengenal pasti usahawan yang berpotensi, membawa mereka ke pasaran, serta menjalinkan kerjasama dan jaringan yang diperlukan,” katanya.

Rosmawati, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SICC turut menekankan keperluan mewujudkan pangkalan data yang komprehensif bagi mengenal pasti keperluan sebenar pembangunan wanita di Sabah.

“Untuk memastikan hasil yang berkesan, mesti ada strategi, garis panduan, kriteria, sistem dan pangkalan data yang jelas.

“Kami merancang untuk turun ke kawasan luar bandar seperti Tawau dan Sandakan bagi mendapatkan input secara langsung daripada pemimpin-pemimpin tempatan.

“Ini penting agar pelan strategik kami benar-benar selari dengan realiti dan keperluan wanita di peringkat akar umbi.

“Contohnya, dalam isu keusahawanan, walaupun latihan telah diberikan, jika tiada pangkalan data dan jaringan pasaran, usaha itu tetap tidak berkesan. Maka, pendekatan yang lebih holistik amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata langkah seterusnya ialah menganjurkan makmal berkaitan ketiga-tiga fokus utama terbabit.

“Kami akan mengumpulkan pemimpin wanita negeri untuk mengenal pasti jurang antara halatuju dasar dan keperluan sebenar di lapangan.

“Kemudian, satu simposium mungkin akan diadakan untuk merumuskan dapatan dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

“Di bawah MPWS, kami mahu membantu wanita berada di tempat yang sesuai dengan kemampuan dan potensi mereka bukan memaksa mereka ke posisi yang tidak sepadan,” katanya.