Majlis Perbandaran Taiping rangkul Anugerah Bandar Mampan 2023
zulfadli
27/11/2023 - 14:38
KUALA LUMPUR 27 Nov - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) merangkul Anugerah Bandar Mampan 2023 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 (HPBS2023) peringkat negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, baru-baru ini.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, sambutan itu adalah bagi menghargai sumbangan profesion perancang bandar.
"Ia merupakan penghargaan kepada mereka yang sentiasa memastikan agenda dan perancangan pembangunan Kerajaan Negeri Perak dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan sosioekonomi rakyat dan aspek pemeliharaan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu di Wisma Perbandaran Taiping hari ini.
Sementara itu, Khairul Amir berkata, Zoo Taiping & Night Safari memperkenalkan pelbagai spesies binatang baharu untuk menarik perhatian pengunjung.
Beliau berkata, dengan kehadiran berbagai jenis burung dan mamalia yang unik, ia dapat meningkatkan pengalaman melawat zoo untuk memenuhi kehendak pengunjung pelbagai peringkat umur.


Katanya, antara tarikan terbaru Zoo Taiping adalah sepasang Striped Skunk, dua pasang burung Violet Turaco, dua pasang Itik Mandarin, dua pasang Itik Carolina, tiga pasang Ringed Teal, sepasang Kuang Emas, sepasang Kuang Lady Amherst’s dan lima pasang Gouldian Finch.


"Dengan tambahan tarikan baharu, Zoo Taiping akan terus menjadi destinasi pilihan bagi keluarga pada musim sekolah yang akan datang," katanya. - DagangNews.com


