Majlis Perwakilan Pelajar UPM sifatkan Umany sebagai `gelojoh' membantah garis panduan konsert di IPT

6 Sep 2023 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majlis Perwakilan Pelajar UPM sifatkan Umany sebagai `gelojoh' membantah garis panduan konsert di IPT

johardy

06/09/2023 - 09:49

SERDANG 6 Sept – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah tindakan badan pelajar lain yang disifatkan sebagai ‘gelojoh’ dalam mencabar draf garis panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institut pendidikan tinggi yang belum pun diluluskan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dalam satu kenyataan, MPP UPM menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyerahkan kepada pelajar dan pengurusan di institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam merangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Selaras dengan saranan tersebut, MPP UPM telah membuat mesyuarat segera bersama pemimpin badan-badan pelajar UPM pada Selasa, bagi menambah baik garis panduan aktiviti hiburan dan konsert di UPM dengan mengambil kira kepentingan lokaliti, norma dan budaya pelajar berbilang kaum di UPM selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

"Sebagai contoh, MPP UPM terlibat secara langsung dalam penilaian risiko penganjuran aktiviti berbentuk hiburan di UPM dengan berpandukan Senarai Semak Penganjuran Aktiviti Hiburan.

"Kami juga membuka peluang kepada pelajar-pelajar UPM terutamanya yang terlibat dalam aktiviti kebudayaan dan hiburan untuk sama-sama memberikan pendapat kepada MPP UPM dalam pemurnian draf garis panduan ini.

"Saranan Menteri Pendidikan Tinggi ini menunjukkan beliau komited dengan Agenda Ke-11 fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Pemerkasaan Mahasiswa yang bermatlamat memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan kepada pelajar," kata MPP UPM.

Pendirian MPP UPM itu adalah sebagai reaksi terhadap Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang melancarkan kempen pendanaan awam untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung garis panduan menganjurkan konsert yang ditetapkan KPTinggi bagi institusi pengajian tinggi.

Keputusan itu diambil walaupun menteri, Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian itu masih belum meluluskan garis panduan tersebut.

“Walaupun Menteri Pengajian Tinggi mendakwa garis panduan itu belum diluluskan, namun belum ada pengumuman menarik balik garis panduan secara hitam putih.

“Oleh itu pelajar pada masa ini masih terikat dengan garis panduan yang tidak munasabah, jika tidak universiti akan mempunyai hak untuk menggunakan garis panduan itu untuk mengawal atau menolak aktiviti berkaitan konsert pelajar,” kata Umany dalam satu kenyataan pada 2 September lalu.

MPP UPM juga menyambut baik saranan Datuk Seri Khaled Nordin menyerahkan kepada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk menilai dan merangka semula draf garis panduan tersebut sebelum diluluskan di peringkat kementerian.

image is not available
Prof. Dr. Arifin Abdu

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu ketika mengulas isu ini berkata badan pelajar sepatutnya mengambil peranan aktif dalam merangka garis panduan bersama institusi masing-masing untuk memastikan garis panduan yang dibangunkan menepati lokaliti, imej, dan reputasi, sekaligus bersifat komprehensif dan inklusif.

Katanya peluang untuk pemimpin pelajar duduk bersama merangka garis panduan ini telah ‘terhidang’, jadi gunakan platform ini sebaiknya dan bukan untuk menjadi jaguh publisiti dalam isu yang belum lagi mempunyai noktahnya. - DagangNews.com