Majlis Tertinggi Rockqueen: Ella Bukti Status Ikon Rock Wanita Tiada Galang Ganti

LocalEntertainment
16 Feb 2026 • 9:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tanggal 15 Februari 2026 akan terus terpahat sebagai malam bersejarah apabila 55,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil demi menyaksikan Majlis Tertinggi Rockqueen, sebuah perhimpunan agung muzik yang membawa semangat Peace, Love & Rindu. Skala yang luar biasa ini bukan sekadar angka, tetapi bukti kukuh bahawa legasi Ella masih mendominasi jiwa rakyat merentasi generasi.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, konsert ini diangkat sebagai satu manifesto penyatuan, bukan hanya tentang muzik, tetapi tentang cinta, rindu dan kebersamaan. 

image is not available

Malam dibuka secara dramatik dengan persembahan 30 koir kanak-kanak sebelum kemunculan Ella tepat jam 8.30 malam menerusi ‘Rama Rama’, yang seakan menjadi isyarat bahawa Ratu Rock Malaysia ini sudah bersedia untuk mengibarkan sayapnya untuk beraksi.

Sepanjang lebih tiga jam, sebanyak 35 buah lagu dipersembahkan. Deretan karya ikonik membentuk naratif perjalanan seni Elladaripada balada menyentuh jiwa hinggalah lagu berentak rock yang membakar semangat. 

Bagi yang hadir pada malam itu, anda adalah saksi mata kepada konsert hasil kerja keras mereka yang mahukan yang terbaik. 

Kemuncak malam pastinya apabila Ella menyampaikan lagu ‘Standing in the Eyes of the World’ yang dahulunya dipersembahkan buat pertama kalinya di lokasi yang sama ketika temasya Sukan Komanwel 1998.

Dengan iringan piano oleh pencipta dan komposer asalnya, Datuk Wah Idris Ella muncul dengan barisan atlet kebanggaan negara yang terdiri daripada Datuk Nicol Ann David, Farah Ann Abdul Hadi, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli mengelilingi stadium. Momen ini cukup ‘mahal’ kerana ia adalah lambang penyatuan seni dan semangat kebangsaan. 

image is not available

Penampilan mengejut Amy Search dan Joe Flizzow pula mencetuskan sorakan luar biasa, manakala segmen penghormatan kepada Ramli Sarip dan M. Nasir menyentuh emosi, menghubungkan sejarah rock tanah air dengan masa depan.

Namun di sebalik produksi berskala mega dan senarai lagu yang panjang, fokus sebenar tetap terarah kepada figura utama malam itu. Bagi saya, konsert ini membuktikan bahawa Ella adalah Ella. Dia tidak perlu bergantung kepada mana-mana lagu untuk membuktikan kemampuannya, kehadirannya di pentas itu sendiri sudah cukup menjadi pernyataan.

Pada usia yang hampir mencecah 60 tahun, beliau menguasai pentas dengan karisma yang tidak pernah pudar. Ella menyanyi sambil berlari, bergerak aktif dari satu sudut ke satu sudut pentas, namun vokalnya kekal mantap, bertenaga dan top-notch. 

Tidak ada tanda keletihan yang menjejaskan kualiti persembahan. Sebaliknya, yang terlihat hanyalah seorang penghibur sejati yang memahami denyut nadi audiensnya.

image is not available

Ella memberikan satu persembahan yang cukup luar biasa sebagai satu-satunya ikon rock wanita yang tiada galang- ganti. Gelaran “Rockqueen” itu bukan sekadar gelaran komersial, tetapi satu pengiktirafan terhadap konsistensi, daya tahan dan sumbangannya kepada industri muzik tanah air selama beberapa dekad.

Dalam keterujaan itu, tidak dapat dinafikan terdapat rungutan daripada sebahagian penonton di tempat duduk bahagian atas stadium mengenai sistem bunyi yang kurang memuaskan. 

Ada yang mendakwa mereka tidak dapat mendengar nyanyian dengan jelas, malah ketika Ella berinteraksi dan bertegur sapa bersama suaminya serta peminat, butir bicaranya kurang kedengaran. Isu teknikal sebegini sememangnya wajar diberi perhatian oleh pihak penganjur.

Namun, janganlah kerana kekurangan ini anda ringan tangan meluahkan rasa tidak puas hati yang tiada adab. Ya, anda membeli tiket, tetapi anda juga harus menjaga hati Ratu Rock ini. 

Biarpun pun kelemahan sistem bunyi bukanlah refleksi terhadap keupayaan Ella, tetapi cubit paha kanan, paha kiri pun terasa. 

image is not available

Berhentilah buat perbandingan dengan konsert penyanyi-penyanyi lain. Ella telah memberikan memberikan segalanya, tenaga, emosi, pergerakan, dan vokal yang konsisten. Usaha dan komitmennya jelas terlihat pada setiap lagu yang disampaikan.

Berbanding dengan konsert-konsert terdahulu, Majlis Tertingi Rockqueen adalah yang terbaik dan saya sebenarnya kagum dengan kehebatan vokal Ella kali ini. 

Kesimpulannya, Majlis Tertinggi Rockqueen bukanlahsekadar sebuah konsert berskala mega, tetapi sebuah perayaan legasi. Ia meraikan bukan hanya seorang Ratu, tetapi sebuah perjalanan seni yang panjang dan penuh makna. 

Dalam lautan manusia yang hadir malam itu, satu perkara pasti, Ella tidak lagi perlu membuktikan apa-apa. Sejarah sudah pun menobatkannya, dan malam itu hanyalah satu lagi bab gemilang dalam hikayat Ratu Rock negara.

Untuk pasukan Ella, anda berjaya menghasilkan kerja seni yang hebat. Syabas! Moga bertemu lagi di lain konsert. - Getaran, 16 Februari 2026