Majoriti GLC Sabah hanya ‘lohong hitam’

LocalBusiness & Finance
8 Jun 2025 • 12:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: David Thien

Kota Kinabalu: Majoriti daripada kira-kira 250 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah adalah seperti ‘lohong hitam’ (blackhole) yang menyedut sumber kewangan negeri tanpa pulangan setimpal namun ada beberapa yang cemerlang.

“Badan-badan berkanun dan GLC ini hanya menyumbang RM143 juta dividen kepada kerajaan negeri dengan RM50 juta daripadanya datang daripada SMJ Energy.

Hanya segelintir yang berjaya menjana dividen manakala prestasi selebihnya sangat mengecewakan,” kata bekas jurubank yang kini ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sabah (SEAC)Datuk John Lo.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beberapa GLC yang mencatat keuntungan termasuk anak syarikat Yayasan Sabah iaitu Innoprise, Sabah Energy Corporation, Sogip, SOGDC, POIC Lahad Datu, Suria Capital, Perbadanan Pinjaman Sabah dan Sawit Kinabalu.

Lo berkata demikian dalam sesi podcast NGO Sabar – Kopitiam Council mengenai “Pengawasan dan Reformasi GLC: Ketelusan, Akauntabiliti dan Pencegahan Rasuah”, baru-baru ini. Sebahagian besar GLC tidak berprestasi atau berprestasi rendah,” katanya sambil menegaskan bahawa banyak GLC memiliki hak monopoli seperti simen (Sabah Cement Industries), pelabuhan (Suria, POIC Sandakan dan POIC Lahad Datu), bekalan air (Jetama) dan pendaratan hasil laut (Safma).

Katanya GLC diberi tanah utama tetapi amat murah iaitu sekitar RM1,000 termasuk tanah utama di lokasi strategik seperti yang dimiliki Innoprise, SUDC, anak syarikat Sedco, Suria, SICC, Sabah Energy dan TAED. Selain itu tanah pertanian yang luas juga diberikan secara percuma atau pada premium nominal kepada syarikat seperti Sawit Kinabalu, KPD dan Sabah Softwood.

GLC lain memperoleh tanah murah untuk taman perindustrian (KKIP, Sogip, POIC Sandakan dan POIC Lahad Datu serta Asian Supply Base di Labuan) atau diberikan konsesi minyak dan gas, pasir sungai dan laut (Sabah Energy, Sabah Gas, SMJ Energy, Sedco).

GLC juga memiliki hotel, resort dan resort hutan (Innoprise, Sedco, Sabah Air) atau diberi keutamaan eksklusif untuk kerjasama dengan syarikat tempatan dan luar.

“Lebih membimbangkan banyak GLC kini menjadi beban besar kepada pertumbuhan ekonomi Sabah. Jika dibiarkan tanpa tadbir urus yang betul ia boleh membawa kesan ekonomi serius. Sabah tidak akan dapat mengejar negeri lain,” katanya.

Dalam banyak kes pelantikan politik sebagai pengerusi ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan didakwa tidak sesuai.

“GLC terus menanggung kerugian setiap tahun. Rakyat Sabah yang menanggung subsidi kerugian ini yang dalam tempoh 35 tahun lalu dianggarkan berjumlah berbilion ringgit. Jumlah kerugian terkumpul amat mengejutkan,” ujarnya.

Lebih membimbangkan ada GLC yang telah menjual atau menjalin usahasama melibatkan aset bernilai seperti tanah komersial dan pertanian utama, bangunan, monopoli dan konsesi kebanyakannya bersifat berat sebelah dan merugikan Sabah.

Ada juga yang membuat pinjaman besar daripada kerajaan dan bank terutamanya Bank Pembangunan Sabah (SDB) yang tidak dapat dibayar sekali gus memaksa kerajaan negeri menanggung beban tersebut.

“Mereka memasuki terlalu banyak perjanjian usahasama berat sebelah yang merugikan kepentingan negeri. Malah mereka mempunyai bilangan projek usahasama gagal terbanyak yang akhirnya memerlukan ‘white knight’ untuk menyelamatkan.

“Jika diurus dengan baik dividen berbilion ringgit ini boleh dijadikan bebas cukai dan mampu memulihkan pemilikan ekonomi Sabah kepada rakyatnya. Impak terbesar ialah penciptaan pekerjaan. Jika setiap GLC dapat mewujudkan hanya 100 peluang pekerjaan baharu kita akan ada tambahan 25,000 pekerjaan!,” kata Lo.

“Wang ini sepatutnya boleh digunakan untuk membantu golongan miskin tegar, membaiki atau melabur dalam infrastruktur, kesihatan, biasiswa atau membina dua hingga tiga universiti.”

“Banyak projek JV GLC terbengkalai atau tidak pernah bermula selama bertahun-tahun.” katanya.

Tambahnya usaha penstrukturan semula SDB menunjukkan hasil memberangsangkan dan menyarankan perhatian turut diberikan kepada Sabah Energy yang dilihat bakal menjadi ‘bintang baharu’.

Lo juga memuji langkah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang melantik anak jati Sabah yang berkelayakan mengetuai beberapa lembaga dan pengurusan seperti SDB, SMJ Energy, Sabah Energy, Sogip, SOGDC serta pelantikan pengurus besar kumpulan baharu bagi Sedco.

Hajiji turut melantik penasihat dalam bidang ekonomi, minyak dan gas, tenaga, pelancongan dan hal ehwal antarabangsa.

Menurut Lo Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun juga telah menubuhkan pasukan petugas khas GLC dan melantik jawatankuasa pemantau bagi GLC.

“Mudah-mudahan penstrukturan semula GLC ini akan membawa kepada penyenaraian sesetengah daripadanya di Bursa Malaysia. Bursa akan mengenakan syarat tadbir urus yang ketat ke atas GLC ini.”

“GLC yang mempunyai lembaga pengarah bebas serta pengurusan profesional yang dilantik oleh Hajiji dan Masidi mula menunjukkan prestasi baik.”

“Kerajaan Sabah masa depan mesti meneruskan usaha menstruktur semula dan merasionalisasikan GLC.

“Menumpukan perhatian kepada kemelut GLC Sabah adalah isu ekonomi paling kritikal buat setiap rakyat Sabah khususnya generasi muda hari ini dan anak cucu mereka. GLC ini menghakis masa depan mereka.

“Saya harap semua rakyat Sabah lelaki, wanita, setiap pengundi selepas mendengar podcast Sabar akan menyokong reformasi, transformasi dan rasionalisasi GLC negeri.

“Ia adalah demi kepentingan semua rakyat Sabah untuk memastikan GLC negeri berjaya,” tegas Lo.