MAJUPERAK Holdings Berhad, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) tidak lagi diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai yang terjejas (Affected Listed Issuer) oleh Bursa Malaysia bermula hari ini.
PKNPk dalam satu kenyataan menyifatkan perkembangan itu sebagai pencapaian penting dalam usaha pemulihan syarikat berkenaan yang terlibat dalam beberapa perniagaan utama antaranya pembangunan hartanah dan infrastruktur serta pengurusan aset dan fasiliti.
Menurut kenyataan itu, kejayaan tersebut mencerminkan keberkesanan langkah penstrukturan serta pengukuhan yang dilaksanakan pengurusan Majuperak sejak beberapa tahun lalu.
Ia bukan sahaja memulihkan kedudukan syarikat di pasaran modal, malah mengukuhkan asas kewangan, tadbir urus dan hala tuju perniagaan.
Sepanjang tempoh pemulihan, Majuperak melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memperkemas operasi, meningkatkan pematuhan korporat serta menyusun semula strategi perniagaan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk merangkap Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, kejayaan itu turut dipacu pendekatan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, keyakinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad terhadap keupayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi antara faktor penting dalam proses pemulihan tersebut.
“Pendekatan berteraskan disiplin pengurusan, ketelusan dan keyakinan terhadap keupayaan institusi negeri menjadi kunci memastikan GLC terus kekal relevan dan berdaya tahan untuk bangkit lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata, pengeluaran status itu turut menghapuskan keraguan terhadap masa depan Majuperak sebagai antara pemacu strategik ekonomi negeri.
“Dengan hala tuju jelas dan sokongan semua pihak berkepentingan, Majuperak kini kembali berada di landasan lebih positif dan berdaya saing,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Majuperak Holdings Berhad, Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, pencapaian tersebut membuka lembaran baharu kepada syarikat.
“Ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan seluruh pasukan dalam memperkukuh kedudukan kewangan serta memacu semula momentum perniagaan,” katanya.
Majuperak Holdings Berhad telah diperbadankan pada 5 Julai 2002 dan telah disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada 27 Jun 2007.


