
CUTI sekolah dah bermula, mak-mak papa semua mesti dah pening kepala fikir mana nak bawa anak-anak meluangkan masa, kan?
Kalau asyik terperap di rumah menghadap gajet, bosan juga si kecil tu. Jangan risau sebab Alamanda Shopping Centre ada kejutan luar biasa buat sekeluarga.
Bermula dari 20 Mei hingga 7 Jun 2026, pusat beli-belah kegemaran ramai ini membawakan semula Karnival VIKids yang memang dinanti-nantikan.
Kali ini, konsepnya memang lain daripada yang lain kerana korang bakal dibawa mengimbau zaman retro-futuristik yang penuh dengan warna-warni lampu neon estetika tahun 1980-an. Sambil anak-anak bermain, ibu bapa pun boleh acah-acah 'throwback' zaman muda-muda dulu.

Bayangkan sebaik sahaja melangkah kaki ke ruang Centre Court, korang akan disambut dengan lantai bercorak catur hitam putih yang klasik, dikelilingi hiasan lampu neon ikonik seperti pita kaset, boombox, dan pohon kelapa.
Memang 'insta-worthy' habis dan sesuai sangat untuk korang rakam memori indah bersama keluarga. Bukan itu sahaja, sepanjang kempen 19 hari penuh pengembaraan ini, terdapat empat buah stesen yang menyediakan permainan pesta ria tradisional, zon arked yang menarik, serta bengkel seni dan kraf kreatif yang dibuka khas untuk para pengunjung.

Hujung minggu pula pastinya lebih meriah dengan tiga pertunjukan harian pada setiap hari Sabtu dan Ahad yang menampilkan tarian neon bertenaga tinggi, pertunjukan silap mata, dan aksi badut belon yang menceriakan.
Bagi korang yang suka berbelanja, ini ada berita baik menerusi Program Ganjaran Pembeli. Ahli VIKids sedia ada yang berbelanja RM300 dan ke atas dalam maksimum dua resit di mana-mana kedai pakar boleh menebus dua Pas Karnival secara percuma.

Manakala bagi yang belum mendaftar sebagai ahli, jangan sedih sebab korang tetap boleh menikmati keistimewaan eksklusif ini dengan berbelanja RM500 dan ke atas dalam maksimum dua resit.
Setiap pas tersebut bakal memberikan akses percuma untuk permainan dan aktiviti terpilih, sekali gus menjanjikan pengalaman percutian yang cukup bermakna buat si kecil.
Bukan di Putrajaya sahaja, kemeriahan cuti sekolah ini turut dirasai oleh orang pantai timur apabila Mesra Mall Kemaman menganjurkan edisi Karnival VIKids tersendiri dari 22 hingga 26 Mei 2026.

Dunia alat tulis
Membawa tema dunia alat tulis yang sangat comel, pusat beli-belah ini menyediakan ruang bergambar interaktif lengkap dengan bingkai swafoto gergasi. Malah, bagi merangsang imaginasi kreatif kanak-kanak bawah umur 12 tahun, siri bengkel kraf DIY keperluan sekolah diadakan setiap hari bermula jam 2.00 petang hingga 6.00 petang.
Di sini, anak-anak boleh belajar menghasilkan sendiri jadual waktu sekolah, bekas alat tulis, hiasan pensel, dan penanda buku yang kreatif.

Menariknya di Mesra Mall, kalian hanya perlu berbelanja RM50 dan ke atas dalam satu resit di mana-mana kedai pakar untuk melayakkan ahli VIKids menerima dua tiket masuk percuma ke bengkel kraf tersebut.
Bagi pendaftaran ahli baharu pula, perbelanjaan minimum RM100 dalam satu resit bukan sahaja melayakkan korang menerima dua tiket bengkel, malah siap dapat beg hadiah set alat tulis tambahan terhad buat 300 orang pertama.
Menurut Pengarah Eksekutif dan CEO Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, karnival tersebut sememangnya dirancang khusus untuk memberikan nilai yang bermakna, pendidikan kreatif serta kegembiraan tanpa had kepada komuniti sepanjang musim cuti sekolah ini.

"Sama ada melalui tenaga neon karnival Alamanda yang memukau dan penuh nostalgia, mahupun bengkel kreatif amali di Mesra Mall, fokus kami kekal untuk menyediakan pengalaman berteraskan keluarga yang luar biasa demi membina kenangan percutian yang abadi," ujarnya lagi.
Jadi, tunggu apa lagi? Jom penuhkan jadual cuti sekolah anak-anak dengan aktiviti yang sihat, selamat, dan menyeronokkan ini.
Siapa tahu, bukan anak-anak sahaja yang teruja, mak ayah pun gembira dapat cuci mata dan mengumpul memori baharu yang paling manis bersama keluarga tersayang.
