Makan bayar guna resit palsu, restoran rugi lebih RM300

LocalFood
21 Apr 2025 • 12:03 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Sebuah restoran masakan Thai di Seksyen 13, Shah Alam mendakwa ditipu oleh sekumpulan pelanggan yang dipercayai membayar menggunakan bukti transaksi palsu selama dua hari berturut-turut, mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ringgit.

Kejadian didedahkan oleh pemilik restoran Tomyam Nam Khon by Dikara Kitchen, Syamimi Omar, menerusi satu hantaran di media sosial yang kini tular. Menurut beliau, kumpulan terbabit terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

Pada hari pertama kejadian, kumpulan itu hadir dan membeli dua set pulut mangga serta minuman air laici berjumlah RM43.60. 

Mereka mendakwa membuat bayaran melalui pemindahan bank dan menunjukkan bukti transaksi di telefon kepada pengurus restoran. 

Oleh kerana kesibukan ketika waktu itu, pengurus mempercayai mereka dan tidak mengambil gambar bukti bayaran berkenaan.

Namun, keesokan harinya, kumpulan sama kembali ke restoran dan memesan pelbagai makanan sehingga jumlah bil mencecah RM304.50. 

Kali ini, pengurus restoran menjadi lebih berhati-hati dan mengambil gambar resit serta meminta nombor telefon pelanggan tersebut untuk tujuan pengesahan.

Bagaimanapun, Syamimi yang ketika itu sedang berada di tanah suci bagi menunaikan umrah mendapati nombor yang diberikan bukan milik individu tersebut. Ini menimbulkan syak wasangka bahawa transaksi bayaran yang ditunjukkan juga adalah palsu.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat. Syamimi turut memaklumkan bahawa pihaknya sebelum ini hanya menerima pembayaran melalui QR code, kad atau tunai. Ini merupakan pertama kali pihak restoran bersetuju menerima bayaran melalui pemindahan bank manual tanpa kehadirannya.

Restoran tersebut kini menggesa peniaga lain di sekitar Shah Alam untuk lebih berwaspada, terutama terhadap kumpulan pelanggan yang datang secara berkumpulan dan mendakwa mahu membuat pemindahan bank. 

Sumber : Threads Syamimi Omar