Usahawan dan pemilik syarikat Mariyah Holdings Sdn Bhd hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengapikan kaum Melayu, di Mahkamah Sesyen Melaka.
Tertuduh yang digelar sebagai Makcik Kemboja atau nama sebenarnya, Mariyah Yaakob, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Tertuduh didakwa telah membuat kenyataan di aplikasi TikTok yang dipercayai berniat untuk mengapikan kaum Melayu pada jam 6 petang, 16 November lalu.
Sementara itu, anak lelakinya, Ezuan Hafsyam Mohd. Hisyam, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara sedar memuat naik video yang memaparkan ibunya mengeluarkan kenyataan yang mungkin berniat mengapikan kaum Melayu, melalui aplikasi TikTok.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar. Tiada sebarang jaminan ditawarkan, tetapi jika mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, beliau mencadangkan jumlah minimum RM3,000.
Pihak pendakwaan turut memohon pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah, serta tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang dikhuatiri akan mengganggu prosiding.
Bagaimanapun, Peguam Kamal Hisham Jaafar merayu agar mahkamah mengurangkan kadar jaminan itu dengan alasan Mariyah merupakan ibu tunggal tiga anak yang bergantung sepenuhnya pada perniagaan yang diusahakannya.
Sementara itu, Ezuan pula merupakan pelajar di universiti swasta di United Kingdom dan bergantung kepada pendapatan ibunya.
Mahkamah kemudian membenarkan Mariyah diikat jamin RM15,000, manakala anaknya RM10,000. 12 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Sumber: Kosmo! Online
The post Makcik Kemboja & anak, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina ‘orang Melayu malas’ appeared first on The Reporter.



