Maklumat Poster Zahid Dilantik TPM, Menteri Dalam Negeri Palsu - JPM

Politics
28 Nov 2022 • 4:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jurucakap JPM berkata, maklumat dalam poster tersebut disahkan sebagai palsu. - Gambar Media Sosial

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan kebenaran poster yang memaparkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Jurucakap JPM berkata, maklumat dalam poster tersebut disahkan sebagai palsu.

“Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.

“Tidak pasti, jangan kongsi! Sila rujuk kepada akaun media sosial rasmi JPM untuk berita sahih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada sidang media pertamanya Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, jawatan tersebut akan diberikan kepada parti komponen terbesar dalam kerajaan perpaduan pimpinannya iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), BN berjaya memperoleh 30 kerusi manakala GPS pula memenangi 23 kerusi.

Semalam, Anwar dilaporkan meminta tempoh beberapa hari lagi sebelum barisan Kabinet kerajaan perpaduan diumumkan.

Katanya, beliau kini masih lagi mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan dari tiga parti utama dalam kerajaan.

Perdana Menteri turut memberi jaminan tidak akan melantik anggota Kabinet melebihi keperluan, semata-mata sebagai imbuhan kerana menyokong kerajaan yang diterajuinya.

Mengulangi janji untuk mengecilkan saiz Jemaah Menteri, Anwar berkata, beliau tidak akan melantik lebih 70 menteri atau penasihat semata-mata sebagai ganjaran kepada pemimpin dan parti politik kerana memberi sokongan kepadanya.

"Saya tidak mahu meneruskan pemberian tambahan untuk menggaji atau melantik menteri atau penasihat sebagai ganjaran menyokong saya.

"Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan dasar yang dibawa serta komitmen untuk tadbir urus yang baik, antirasuah serta ekonomi," katanya. – Getaran, 28 November 2022