Maklumat tidak tepat, manipulasi fakta gugat keharmonian negara

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 8:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sumbangan kerusi roda disampaikan Roslan (tiga dari kiri) kepada penerima.

KOTA BHARU – Penyebaran maklumat tidak tepat serta manipulasi fakta dalam masyarakat boleh menggugat keharmonian negara dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin berkata, perkara itu dipandang serius kerana berisiko menimbulkan kebencian terhadap pemerintah selain mengelirukan masyarakat mengenai dasar serta usaha yang dilaksanakan kerajaan.

“Kami sangat kecewa apabila terdapat pihak tertentu yang cuba memanipulasi atau menyalahgunakan fakta sehingga perkara yang sepatutnya jelas, menjadi mengelirukan masyarakat.

“Sebagai contoh, ada pihak mendakwa harga minyak meningkat sedangkan kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter melalui subsidi yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ukhwah Madani bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Dewan Datuk Mat Ghani Kubang Kerian di sini pada Khamis.

Turut hadir, Presiden PVATM, Kapten (B) Datuk Saharudin Omar.

Menurut Roslan, terdapat pihak berkepentingan yang didakwa sengaja memutar belit fakta walaupun mengetahui keadaan sebenar, semata-mata bagi menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, tindakan sedemikian biasanya dilakukan apabila sesuatu usaha atau dasar kerajaan dilihat memberi kesan positif kepada rakyat sehingga menjejaskan kepentingan kelompok tertentu.

“Kadang-kadang mereka sebenarnya tahu perkara sebenar, tetapi tetap memilih untuk tidak menyatakan fakta yang betul kerana bimbang akan menjejaskan kepentingan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan veteran ATM memainkan peranan sebagai penyampai maklumat tepat kepada masyarakat.

Katanya, pengalaman dan disiplin yang dimiliki golongan berkenaan menjadikan mereka antara kumpulan yang sesuai untuk membantu menjelaskan dasar kerajaan serta menangkis sebarang maklumat tidak tepat.

“Semasa dalam perkhidmatan, anggota tentera merupakan pendukung kuat kepada negara dan institusi diraja.

“Walaupun sudah bersara, semangat mempertahankan negara itu perlu diteruskan dengan membantu menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, melalui program Ukhwah Madani yang dilaksanakan oleh AKM di seluruh negara, veteran turut digalakkan menjadi rakan strategik dalam usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian negara.

“Veteran boleh menjadi sahabat penggerak Madani yang membantu menyampaikan gagasan serta dasar kerajaan kepada rakyat,” katanya.