
Maksud Sebenar 6 Warna Kain Penutup Jenazah Di Masjidil Haram
Di Malaysia, apabila menyebut tentang kematian dan pengurusan jenazah, kebanyakan daripada kita secara automatik akan membayangkan kain kafan dan kain penutup jenazah berwarna putih.
Namun, tahukah anda, di Masjidil Haram, Makkah, kain penutup jenazah yang digunakan mempunyai warna yang berbeza-beza, dan setiap warna tersebut membawa maksud tertentu?
Menurut Akademi Mutawwif, kain penutup jenazah ini bukanlah kain kafan. Kain kafan tetap berwarna putih seperti yang ditetapkan dalam syariat Islam.
Sebaliknya, kain penutup jenazah ini digunakan selepas jenazah selesai dimandikan dan diuruskan oleh pihak berautoriti. Ia bertujuan untuk menutup dan memudahkan pengendalian jenazah sebelum dibawa ke tempat solat jenazah atau pengebumian.
Seperti dikongsikan oleh Akademi Mutawwif, berikut merupakan antara warna kain penutup jenazah yang lazim digunakan di Masjidil Haram beserta maksudnya:
- Putih – Jenazah yang meninggal dunia dalam keadaan Ihram
- Coklat – Jenazah Lelaki Dewasa
- Hitam – Jenazah Perempuan Dewasa
- Hijau & berbumbung – Jenazah Kanak-Kanak
- Biru – Jenazah yang diuruskan oleh pihak hospital
- Kuning – Jenazah individu berstatus khas seperti pemimpin atau tokoh tertentu
Info penting
Warna kain penutup jenazah boleh berbeza daripada yang dinyatakan kerana ia bergantung kepada tempat dan pihak yang menguruskan pemandian jenazah.
Perbezaan yang paling ketara ialah jenazah kanak-kanak kebiasaannya mempunyai bumbung, manakala jenazah dewasa tidak berbumbung.
Hakikatnya, kita semua sama di hadapan Allah SWT
Perlu diingatkan, perbezaan warna ini bukan untuk membezakan darjat manusia. Sebaliknya, ia lebih kepada tujuan pengurusan pengebumian di kawasan yang menempatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia.
“Di sebalik perbezaan warna kain penutup jenazah ini, hakikatnya kita semua di hadapan Allah SWT adalah sama. Yang dinilai disisi Allah SWT ialah iman, amal dan keikhlasan hati,” tulis Akademi Mutawwif.
Semoga perkongsian ini bukan sekadar menambah pengetahuan ramai. Sebaliknya, juga menjadi peringatan agar kita terus memperbaiki diri dan mempersiapkan bekalan untuk kehidupan yang kekal di akhirat kelak.
BACA: Hukum Guna Tabung Sperma Suami Yang Sudah Meninggal Dunia – Mufti WP
Sumber: Akademi Mutawwif
The post Maksud Sebenar 6 Warna Kain Penutup Jenazah Di Masjidil Haram appeared first on Siakap Keli.
