Malakoff labur RM2.5 bilion bangunkan projek solar 500MW dalam tempoh lima tahun

Business & Finance
4 Oct 2023 • 3:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malakoff labur RM2.5 bilion bangunkan projek solar 500MW dalam tempoh lima tahun

diyana

04/10/2023 - 15:12

KUALA LUMPUR 4 Okt - Malakoff Corporation Berhad dijangka melabur sekitar RM2.5 bilion untuk membangunkan projek solar 500MW (megawatt) dalam Kumpulan Syarikat Albukhary pada lima tahun akan datang.

Kumpulan perniagaan itu terdiri daripada Kumpulan MMC, DRB-Hicom Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd, antara lain.

Malakoff berkata demikian kepada media susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Malakoff dan pelabuhan MMC untuk meneroka peluang perniagaan dalam pelbagai inisiatif kuasa hijau dengan pelaburan RM350 juta.

Projek tenaga hijau itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, mana-mana program kuasa solar di bawah inisiatif kerajaan seperti Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), Penggunaan Sendiri (SelCo), bekalan tenaga dari pantai ke kapal (cold ironing), pemasangan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan lain-lain.

Menurut satu kenyataan media, Malakoff dan pelabuhan MMC – Northport (Malaysia) Bhd, Johor Port Berhad, Tanjung Pelepas Sdn Bhd, dan Penang Port Sdn Bhd – bersedia untuk memulakan kerjasama transformasi dalam CGPP, di mana Malakoff berperanan sebagai pengeluar kuasa solar, manakala pelabuhan MMC sebagai pengguna korporat.

“Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada pelabuhan MMC untuk mengakses tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui kuasa solar secara maya, mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk memacu pembangunan projek solar 500MW dalam Kumpulan Syarikat Albukhary,” katanya.

Selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai campuran kapasiti RE sebanyak 70% menjelang tahun 2050, Malakoff dan pelabuhan MMC sedang meneroka peluang untuk kerjasama dalam program Solar Berskala Besar (LSS), serta mempertimbangkan pelaksanaan cold ironing, iaitu proses menyediakan elektrik kepada kapal semasa berlabuh.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata kerjasama strategik tersebut mencerminkan aspirasi dan komitmen kumpulan untuk menangani isu alam sekitar global dengan memperluaskan portfolio RE yang sedia ada dan meneroka bidang berbeza dalam inisiatif hijau melalui rumusan menyeluruh dan inovatif.

“Sehingga kini, pencapaian kami melibatkan kapasiti solar sebanyak 67MW melalui LSS dan solar atas bumbung, serta kapasiti kuasa hidro sebanyak 84MW yang sedang dalam proses pembangunan.

“Tanah yang sedia ada di Perak dan Melaka yang juga berdekatan dengan ‘grid lines’, menjadi bukti kapasiti kami, yang membolehkan bakal pembeli, terutamanya dalam Kumpulan Albukhary, untuk membangunkan projek solar,” katanya.

Menurut Anwar Syahrin, Malakoff juga sedang mengkaji eksport tenaga ke negara jiran, seperti Singapura.

"Dalam usaha Malakoff untuk menjadi syarikat terkemuka dalam penghasilan tenaga global dan rumusan alam sekitar, kami telah menetapkan sasaran yang jitu mencapai kapasiti RE sebanyak 1,400MW menjelang tahun 2031 dan mencapai kadar kitar semula sebanyak 15% hingga 20% menjelang 2025 dari sisa yang dikumpulkan oleh anak syarikat kami, Alam Flora Sdn Bhd,” katanya.

Dalam mencapai dunia yang lebih bersih dan hijau, MoU itu merupakan sebahagian daripada komitmen Malakoff ke arah Matlamat Pembangunan Mampan PBB No. 7 - Tenaga Mampu Milik dan Bersih. - DagangNews.com