Malakoff terus catat projek baharu selepas kes kebakaran loji Tanjung Bin - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2025 • 10:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malakoff terus catat projek baharu selepas kes kebakaran loji Tanjung Bin - Maybank IB

image is not available

10/10/2025 - 10:42

Foto ihsan Malakoff Corporation Berhad Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 OktMalakoff Corporation Berhad masih mencatat projek tenaga solar berskala besar di Sarawak, meskipun mengharungi insiden kebakaran di loji Tanjung Bin Energy (TBE) baru-baru ini.


Bagaimanapun Maybank Investment Bank mengakui kes berkenaan membayangi momentum positif syarikat itu dalam mengukuhkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) terutama untuk jangka pendek.


Ia mengekalkan saranan 'pegang' dan harga sasaran (TP) 90 sen sesaham, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP) yang turut mengambil kira 15 sen sesaham daripada sumbangan beberapa projek baharu.


“Penurunan harga saham sebanyak 11% sejak insiden berkenaan memang dijangka setelah mengambil kira potensi kesan negatif terhadap pendapatan,” jelas firma penyelidikan itu dalam laporan terkininya.


Kebakaran di TBE yang berlaku pada 2 Oktober 2025 itu melibatkan sistem flue gas desulphurisation (FGD) dan cerobong loji arang batu 1,000MW, ketika ia sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.


Maybank IB namun berkata, setakat ini, dandang utama dan turbin dilaporkan tidak terjejas, dengan siasatan lanjut sedang dibuat, manakala tempoh penutupan serta kesan kewangan belum dapat disahkan.


Malakoff tambah firma berkenaan, masih berisiko kehilangan pembayaran kapasiti berjumlah sekitar RM160 juta setiap suku tahun, tetapi potensi tuntutan insurans syarikat tersebut masih lagi terbuka.

"Di sebalik isu TBE, kumpulan meneruskan momentum positif dalam usaha kepelbagaian RE apabila meraih konsesi 30 tahun ladang solar 100MW di Bintulu, Sarawak, menerusi pegangan 70%," katanya.


Perkembangan positif ini jelas Maybank IB, merupakan tambahan kepada projek ladang solar 470MW di Perak dan kemudahan pemprosesan baharu daripada sisa kepada sisa (WTE) sekitar 22MW di Melaka.


Kesemua ini mengukuhkan naratif pertumbuhan Malakoff dalam RE, walaupun nilai tambah sebenar masih bergantung kepada keupayaan projek menjana pulangan (IRR) yang melebihi kos modal syarikat itu.


Ia turut menekankan keperluan untuk mengisi kekosongan pendapatan menjelang tamatnya konsesi loji Tanjung Bin Power pada 2031, yang merupakan penyumbang utama kepada keuntungan syarikat ketika ini.


“Kami kekal berpandangan neutral buat masa ini, menunggu perkembangan lanjut berkaitan siasatan TBE, di samping memantau pelaksanaan dan penjanaan nilai daripada projek baharu,” ujar Maybank IB.


Selain itu katanya, unjuran pendapatan dan dividen tidak berubah buat masa ini, dengan andaian kadar pembayaran dividen sebanyak 70%, setara dengan hasil dividen sekitar 3% hingga 5% setahun.


Pengekalan saranan dan TP terhadap Malakoff mengambil kira keseimbangan antara risiko jangka pendek akibat TBE dan prospek pertumbuhan melalui RE jangka panjang. - DagangNews.com

standard