SHAH ALAM - Program Malam Budaya Emas Sri Semantan akan dianjurkan bersempena pembukaan Kedai Emas Sri Semantan cawangan keenam di Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7, Shah Alam, dengan pelbagai pengisian seni dan kebudayaan tradisional untuk masyarakat setempat.
Presiden MySinar, Mohd Fadzil Fairus Guriaman berkata, program berkenaan akan berlangsung pada Sabtu, 17 Januari bermula jam 8.30 malam bertempat di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
Menurutnya, kemasukan ke program itu adalah percuma, namun pengunjung perlu mendaftar bagi melayakkan diri menerima nombor cabutan bertuah, dengan hadiah berupa barangan kemas disediakan kepada pemenang bertuah.
“Malam Budaya Emas Sri Semantan bukan sahaja dianjurkan sempena pembukaan cawangan baharu Kedai Emas Sri Semantan, malah bertujuan menghimpunkan masyarakat setempat melalui platform seni, budaya dan hiburan tradisional,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Khamis.
**media[3402916]**
Beliau berkata, majlis itu turut akan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Emas Sri Semantan Sdn Bhd, Mohamad Hafizal Mahmood, serta Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Shaaini Md Jumaat.
Program berkenaan menampilkan pelbagai artis dan penggiat seni antaranya Halim Yazid, Makyi Tupai, Issey Fazlisham, Ropi HM, Asyiq Ilahi, Fadhil Turbo, Amran DBA, Adha Bintang 7, Six, Along PM dan Mey Ello.
Selain itu, acara kemuncak program ialah persembahan Kumpulan Dikir Suara Perantau Kajang yang akan berentap dengan Kumpulan Dikir Exclusive Shah Alam, sekali gus menambah kemeriahan malam kebudayaan berkenaan.
Mohd Fadzil berkata, pembukaan rasmi Kedai Emas Sri Semantan cawangan keenam itu dijadualkan berlangsung pada 25 Januari ini, sekali gus menandakan satu lagi langkah pengembangan syarikat berkenaan di Selangor.
Program Malam Budaya Emas Sri Semantan turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk MySinar, Karangkraf dan Sinar Harian, selari dengan usaha memartabatkan seni budaya tempatan di samping mengeratkan hubungan bersama komuniti.
