
PAKAR bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri menitipkan kesyukurannya selepas selamat menerima Ijazah Doktor Falsafah pada majlis konvokesyen Imperial College London.
Berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram, Dr Amalina berkongsi catatan manis penuh emosi yang ditujukan khas buat dua anak perempuannya, Arabella Mia, 4, dan Aurora Sienna, 1.
Pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia 2004 itu berharap suatu hari nanti kedua-dua puterinya dapat memahami pengorbanan yang perlu dilakukan sepanjang menuntut ilmu dan membina kerjaya.

“Suatu hari nanti, apabila kamu berdua sudah dewasa, mummy harap kamu akan membaca tulisan ini dan memahami perjalanan yang telah mummy lalui.
“Malam-malam yang panjang, syif on-call, penulisan tesis, latihan klinikal, waktu belajar serta pilihan-pilihan yang kadangkala membuatkan mummy terpaksa berjauhan daripada kamu walaupun hati ini tidak pernah mahu berenggang,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Dr Amalina menjelaskan segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan bukanlah kerana mengabaikan keluarga, sebaliknya didorong oleh rasa cinta yang mendalam terhadap anak-anaknya.

"Mummy harap kamu faham bahawa segala yang mummy lakukan bukanlah menggantikan kasih sayang terhadap kamu.
"Sebaliknya, semuanya kerana mummy menyayangi kamu.
"Ada hari-hari yang rasa bersalah itu begitu berat, apabila mummy tertanya-tanya sama ada mummy sudah melakukan yang terbaik, dan apabila mummy bimbang kamu mungkin tidak akan memahami. Namun walau dalam saat-saat itu, kasih sayang mummy terhadap kamu tidak pernah berubah sedikit pun," titipnya.
Artikel berkaitan
- d

Meraih Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang berkait rapat dengan kanser payudara, Dr Amalina menitipkan kata-kata semangat agar Arabella dan Aurora sentiasa berani mengejar impian dan yakin dengan kemampuan diri.
"Jika ada satu perkara yang mummy mahu kamu sentiasa ingat, inilah pesannya: Kamu mampu mencapai perkara-perkara luar biasa. Kamu boleh berani bermimpi besar.Kamu boleh menjadi kuat dan lembut, bercita-cita tinggi dan penuh belas ihsan pada masa yang sama.

"Dan mummy berharap suatu hari nanti, apabila kamu menoleh kembali perjalanan hidup mummy, kamu akan berasa bangga. Bukan kerana mummy sempurna, tetapi kerana mummy telah berusaha untuk diri sendiri, untuk dunia, dan lebih-lebih lagi untuk kamu berdua.
"Sentiasalah ingat, anak-anak perempuan mummy yang tersayang. Mummy percaya kepada kamu sepenuh hati. Tiada yang mustahil untuk kamu.
"Kamu adalah anugerah terindah dalam hidup mummy," kongsinya.

Majlis yang berlangsung di Royal Albert Hall itu turut dihadiri suaminya, Alexander Charles dan ibu, Sabariah Hassan.
Perkongsian tersebut turut dibanjiri ucapan tahniah daripada warga maya yang tumpang gembira dengan kejayaannya.
Sekadar info, Dr Amalina mula dikenali ramai selepas mencipta sejarah memperoleh 17A1 dan menjadikannya antara pelajar paling cemerlang dalam sejarah pendidikan negara.
Kejayaan tersebut membuka jalan untuknya menerima biasiswa Kijang Emas dari Bank Negara Malaysia dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK).
Dr Amalina juga pernah mengharumkan nama negara apabila disenaraikan sebagai 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di seluruh UK.
Sumber: Instagram
