
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, mencipta kejayaan apabila berjaya meraih kutipan pembukaan RM3 juta.
Kejayaan ini membuktikan sambutan penonton positif terhadap naskhah seram tempatan yang menampilkan gandingan pertama kali Zul Ariffin dan Sofia Jane, di bawah arahan pengarah baharu, Labu, serta hasil pencipta dan penerbit kreatif yang diketuai oleh Hazo Mahayuddin.
Menurut Penerbit Eksekutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pihaknya amat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada penonton yang memilih untuk menonton Malam Terlarang di pawagam.
“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa karya tempatan yang dihasilkan dengan kualiti tinggi dan jalan cerita yang dekat dengan jiwa penonton masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Kami ingin mengajak mereka yang belum menonton untuk merasai sendiri pengalaman sinematik Malam Terlarang di pawagam, sebuah pengalaman yang pastinya lebih mengujakan dan berbeza apabila dinikmati di layar besar.”
Malam Terlarang bukan sekadar menampilkan elemen seram dan mistik Nusantara, tetapi turut mengangkat kisah kekeluargaan yang penuh emosi. Visual yang memukau serta lakonan mantap barisan pelakon turut menjadi antara faktor kejayaan Malam Terlarang.
“Cubaan yang menarik daripada Team Malam Terlarang. Dah tonton and aku agak terkesima dengan pembikinannya. Mesti tonton,” kata seorang pengguna media sosial.
“Satu perkara yang saya puji tentang Malam Terlarang ialah bagaimana filem ini menampilkan sesuatu yang sangat jarang dilihat dalam industri filem Malaysia — iaitu penggambaran autentik kepercayaan dan ritual Nusantara. Ironiknya, aspek warisan ini jarang sekali diketengahkan, sedangkan ia begitu sebati dengan budaya kita,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
Malah menurut seorang lagi pengguna X, filem terlarang ini lebih baik dari filem antarabangsa, Conjuring.
Korang kena tengok Malam Terlarang. Much better thn Conjuring… aku rate 8.7/10 pic.twitter.com/Gqg2jaUcsI
(@ItsAryya) October 31, 2025
Malam Terlarang menyampaikan mesej tentang ‘Bila Bertuhankan Nafsu’, di mana ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemahuan duniawi. Berlatarkan tahun 1980an, filem ini memberi fokus kepada sebuah keluarga yang menyimpan banyak rahsia merentas generasi.
Mawar, seorang gadis berusia 18 tahun membesar di sebuah bandar kecil bernama Kampung Pasir Larung. Cita-citanya sebagai wartawan tertangguh kerana terpaksa menjaga ibunya, Sarimah, apatah lagi bapanya, Omar sibuk dengan kerjaya politik. Namun, pemergian mengejut kakaknya, Safar mengubah keadaan. Mawar diganggu pengalaman mistik dan kejadian paranormal yang mengerikan, membuatkan dia nekad mencari punca misteri kematian Safar.
Filem ini bintangi oleh Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
