hamden04/08/2026 - 12:48 Kilang Vimaflour di Vietnam. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - Malayan Flour Mills Bhd (MFM) merancang meningkatkan kapasiti operasi pengilangan tepung di Vietnam sebanyak 25% bagi memanfaatkan pertumbuhan permintaan makanan berasaskan gandum yang dijangka terus meningkat hasil peningkatan pendapatan, urbanisasi dan perubahan corak pemakanan penduduk negara itu.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengembangan itu akan dilaksanakan menerusi Vimaflour Ltd, syarikat pengilangan tepung milik 70% MFM di Vietnam.
Menurutnya, pembinaan bagi projek peluasan kapasiti tersebut dijangka bermula menjelang penghujung suku keempat 2026 (4Q26) sebelum siap pada awal tahun kewangan 2028 (FY28).
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan untuk menambah kapasiti dibuat ketika kilang sedia ada di Vietnam kini hampir mencapai tahap penggunaan maksimum, sekali gus mencerminkan pelaburan tersebut didorong oleh permintaan pasaran yang semakin kukuh.
"Peningkatan kapasiti ini akan memberi ruang kepada MFM untuk meningkatkan jumlah jualan serta memperbaiki kecekapan operasi apabila kemudahan baharu mula beroperasi.
"Kami melihat prospek pasaran tepung di Vietnam masih mempunyai ruang pertumbuhan yang besar memandangkan kadar penggunaan per kapita masih jauh lebih rendah berbanding negara jiran," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut HLIB, penggunaan tepung gandum per kapita di Vietnam ketika ini hanya sekitar 18 kilogram (kg) setahun, berbanding 26kg di Indonesia dan 40kg di Malaysia.
Potensi Pertumbuhan Besar
Jurang tersebut menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar sekiranya peningkatan pendapatan isi rumah serta perubahan gaya hidup pengguna terus memacu permintaan terhadap makanan berasaskan gandum.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan jangka panjang pasaran Vietnam turut disokong oleh peningkatan penggunaan mi segera, perkembangan pesat industri bakeri, urbanisasi, kepelbagaian corak pemakanan serta pertumbuhan saluran peruncitan moden dan industri perkhidmatan makanan.
Selain itu, pertumbuhan golongan berpendapatan sederhana dan peningkatan permintaan terhadap makanan segera serta produk nilai tambah dijangka terus merangsang penggunaan tepung di negara tersebut.
HLIB Research berpandangan, pengembangan kapasiti Vimaflour akan membolehkan MFM mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Vietnam, sekali gus memanfaatkan pertumbuhan permintaan yang masih berada pada fasa awal berbanding pasaran serantau yang lebih matang.
Katanya, strategi tersebut juga dijangka meningkatkan kecekapan operasi kumpulan melalui skala ekonomi yang lebih besar apabila kapasiti baharu mula beroperasi pada FY28.
Empat perniagaan utama MFM merangkumi operasi pengilangan tepung di Malaysia, Vietnam dan Indonesia; perdagangan bijirin menerusi Premier Grain Trading Sdn Bhd yang dimiliki sebanyak 51%; perniagaan ayam bersepadu melalui usaha sama 51% dengan Tyson Foods; serta pembuatan makanan akuakultur.
Penilaian Saham
HLIB memulakan liputan terhadap MFM dengan saranan "Beli" dan harga sasaran (TP) sebanyak 93 sen sesaham.
Harga sasaran itu berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak tujuh kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras pertengahan FY27 sebanyak 13.3 sen.
HLIB berkata, saham MFM kini didagangkan pada nisbah P/E antara 4.1 kali hingga 4.6 kali bagi tempoh FY26 hingga FY28, yang disifatkannya masih menarik mengambil kira prospek peningkatan pendapatan syarikat, kedudukan kunci kira-kira yang semakin kukuh serta sokongan pembayaran dividen. - DagangNews.com


