Malaysia Airlines syarikat penerbangan pertama negara lancar program karbon korporat untuk tingkatkan inisiatif kemampanan
zulfadli
06/03/2024 - 16:44
KUALA LUMPUR 6 Mac - Malaysia Airlines meningkatkan komitmennya terhadap kemampanan dengan pelancaran Program Karbon Korporat, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di negara ini yang memperkenalkan inisiatif sedemikian.
Syarikat penerbangan itu berkata, inovatif tersebut direka untuk memperkasakan pelanggan korporat, memfokuskan kepada pengembara perniagaan dengan menyediakan platform komprehensif untuk memahami dan mengimbangi pelepasan karbon yang berkaitan dengan perjalanan mereka.
Katanya, dalam langkah strategik ke arah memupuk tanggungjawab alam sekitar, Malaysia Airlines terus bekerjasama dengan syarikat teknologi iklim CHOOOSE untuk menggerakkan Program Karbon Korporat.
"Ini menandakan perkembangan ketara berikutan kejayaan program mengimbangi karbon sukarela syarikat penerbangan itu yang dilancarkan pada Jun 2023.
"Program Karbon Korporat Malaysia Airlines melangkaui pengimbangan karbon tradisional dengan menawarkan pelanggan korporat peluang untuk menyokong projek iklim yang diperakui.
"Tidak lama lagi, program itu akan melanjutkan tawarannya untuk memasukkan kredit bahan api penerbangan mampan (SAF), membolehkan pelanggan korporat menyumbang secara aktif kepada amalan penerbangan mampan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, Program Karbon Korporat Malaysia Airlines membolehkan pelanggan korporat mengakses portal syarikat mereka sendiri yang mana mereka boleh menganggar dan mengurus jejak karbon mereka dengan lebih tepat.

Selain itu katanya, mereka boleh menyumbang ke arah projek yang mengalih keluar atau mengurangkan pelepasan karbon di seluruh dunia.
"Melalui program ini, syarikat juga boleh melihat analisis terperinci tentang aliran pelepasan, mengakses kandungan projek karbon yang mendalam dan menjejaki sokongan terkumpul mereka untuk projek iklim terpilih, sambil menangani pelepasan Skop 3 mereka," katanya.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Philip See berkata, memperluaskan program karbon kepada pelanggan korporat mengesahkan komitmen MAG untuk memenuhi sasaran sifar bersih dan menangani pelepasan karbon.
Selain itu katanya, ia turut memperkasakan pelanggan korporat untuk mengambil bahagian dalam perjalanan kemampanan kami dengan cara yang bermakna.
"Kami berharap dapat melengkapkan sokongan projek iklim yang diperakui dengan pilihan untuk menyokong SAF dalam masa terdekat, mengiktiraf peranan penting yang akan dimainkannya dalam menyahkarbonkan industri penerbangan.
"Dengan memanfaatkan teknologi dan perkongsian, kami berharap dapat memacu perubahan bermakna dalam penerbangan berpandukan Pelan Tindakan Kelestarian MAG," katanya. - DagangNews.com



