Malaysia antara destinasi kegemaran pelancong China membeli-belah, kata Alipay
diyana
10/10/2023 - 17:38
KUALA LUMPUR 10 Okt - Malaysia antara destinasi kegemaran pelancong China untuk membeli-belah dan telah mendorong jumlah transaksi negara menerusi platform pembayaran Alipay melepasi paras dicatat pada 2019.
Alipay mendedahkan bahawa purata perbelanjaan pelancong China ke luar negara semasa cuti Hari Kebangsaan China 2023, dari 29 September hingga 6 Oktober, telah melepasi paras pada 2019, seiring dengan momentum pertumbuhan pelancongan keluar China yang kembali rancak sejak awal 2023.
Platform pembayaran dan perkhidmatan digital itu berkata membeli-belah terus menjadi aktiviti paling digemari pelancong China apabila mereka melancong ke luar negara.
Dalam tempoh tersebut, perbelanjaan tertinggi melalui Alipay adalah untuk pembelian barangan, termasuk produk penjagaan kulit dan barangan bebas cukai, diikuti oleh perbelanjaan makanan dan minuman serta penginapan.
Selain pembayaran barangan dan perkhidmatan, pelancong China turut menggunakan Alipay untuk pertukaran mata wang, Coupon Hub, bayaran balik cukai dan pengangkutan.
“Satu tinjauan baru-baru ini berhubung pelancongan keluar China mendapati, pelancong China dari semua peringkat umur menggunakan teknologi digital dalam perancangan pelancongan dan lebih suka pembayaran mudah alih, dengan 84% cenderung menggunakan pembayaran mudah alih seperti Alipay.
“Pengguna China lebih suka pembayaran mudah alih, disebabkan kadar pertukaran telus dan memuaskan (60%), tawaran diskaun dan perkhidmatan nilai tambah lain (60%), kemudahan penjejakan perbelanjaan (56%) serta keselamatan dan kemudahan berbanding tunai (55%),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Alipay, pelancong China juga memilih perkhidmatan yang diperibadikan seperti panduan beli-belah dalam bahasa Cina (83%) dan pelbagai tawaran eksklusif.
Memetik kajian Pusat Inovasi Kewangan Lestari di Universiti Teknologi Nanyang, Alipay berkata peniaga tempatan yang ingin menarik perhatian pelancong China perlu bersedia menawarkan kaedah pembayaran mudah alih China dan mempertimbangkan penawaran perkhidmatan nilai tambah lain bersesuaian untuk pelancong China.
Alipay berkata destinasi paling popular berdasarkan jumlah perbelanjaan melalui Alipay sebahagian besarnya kekal konsisten dengan cuti-cuti utama yang sebelumnya dalam tahun ini.
“Destinasi Asia yang dekat secara geografi, termasuk Hong Kong SAR, Singapura dan Malaysia, dan negara Eropah, seperti Perancis dan Itali, terus mendominasi senarai itu.
“Bagaimanapun, terdapat peningkatan ketara dalam perbelanjaan pelancong China melalui Alipay di destinasi yang kurang dilawati seperti Estonia dan Qatar berbanding tempoh sama pada 2019, sekali gus menunjukkan perubahan dalam pilihan pelancongan mereka. - DagangNews.com






