Malaysia Atur Hantar Pulang 127 Rakyat Palestin – Ahmad Zahid

20 Jan 2025 • 10:46 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kerajaan sedang mengatur penghantaran pulang 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang telah menerima rawatan di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi .

Hantar pulang 127 rakyat Palestin sedang diatur

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet minggu lepas dan sedang diuruskan oleh Kementerian Luar bersama Kementerian Pertahanan.

“Kedua-dua kementerian yang terlibat akan memperincikan mengenai perkara itu dalam masa terdekat dan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat.

“Mereka (rakyat Palestin) telah menerima rawatan dan memohon untuk pulang … jadi dalam keadaan gencatan senjata, ini mungkin masa sesuai untuk penghantaran pulang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Permukiman KKDW 2025 di George Town, pada Ahad.

Tempoh perjanjian gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa semalam akan berlangsung selama 42 hari.

Malaysia sebelum ini telah membawa masuk 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit cedera pada 16 Ogos lepas untuk menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara mereka ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).

image is not available

Foto: Berita Harian

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menerima permohonan maaf daripada Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali, susulan insiden kekecohan yang melibatkan warga Palestin di WTKL.

“Kita tahu bahawa mungkin mereka berada dalam keadaan tekanan kerana telah lama berada di Malaysia,” tambahnya.

Sumber: Astro Awani