Malaysia, Bangladesh Setuju Perkukuh Kerjasama Pelbagai Sektor Strategik

22 Jun 2026 • 1:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Malaysia, Bangladesh Setuju Perkukuh Kerjasama Pelbagai Sektor Strategik

Malaysia, Bangladesh Setuju Perkukuh Kerjasama Pelbagai Sektor Strategik

Malaysia dan Bangladesh bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi baharu serta pengurusan tenaga kerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia sebagai destinasi pertama selepas memegang jawatan itu membuktikan hubungan erat serta keyakinan tinggi antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, Malaysia menghargai kunjungan tersebut yang dilihat membuka lebih banyak ruang untuk memperluaskan kerjasama dalam pelbagai sektor.

Baca juga:

“Kami amat berbesar hati menerima lawatan rasmi ini yang mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh dan berpanjangan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk memperluas kerjasama bukan sahaja dalam bidang perdagangan dan pelaburan, malah turut merangkumi sektor teknologi baharu seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga dan penyelidikan.

Selain itu, katanya, aspek pengurusan tenaga kerja turut menjadi antara fokus utama perbincangan dengan penekanan terhadap kebajikan pekerja serta sistem pengambilan yang lebih telus dan adil.

“Kita memerlukan tenaga kerja, namun pada masa sama kita mesti memastikan kebajikan mereka terpelihara dan tidak berlaku sebarang bentuk eksploitasi,” ujarnya.

Sementara itu, Tarique Rahman berkata Malaysia merupakan antara rakan penting Bangladesh yang telah lama dipercayai, selain menyifatkan hubungan kedua-dua negara terus berkembang berasaskan kepercayaan bersama.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa, selain menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan ekonomi menerusi rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Antara bidang lain yang turut dibincangkan termasuk industri halal, pendidikan, pembangunan kemahiran, ekonomi digital, infrastruktur tenaga dan pertahanan.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh mekanisme kerjasama sedia ada termasuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama serta konsultasi dua hala antara kementerian luar.

Perbincangan itu turut menyentuh beberapa isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Myanmar, konflik di Asia Barat serta isu kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya selain usaha memperkukuh keamanan global.