zakisalleh07/01/2026 - 09:21 Gambar grafik rekabentuk kapal MPMS pertama buatan DESAN Shipyard, Türkiye. Oleh Zaki Salleh editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Jan - Jangkaan ada penambahan aset baharu untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadi kenyataan apabila kerajaan bersetuju membeli kapal misi pelbagai guna (MPMS) kedua.
Pembelian kapal MPMS antara agenda lawatan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari ke Türkiye bermula hari ini.
Menerusi kenyataan media Wisma Putra, atur cara lawatan Anwar termasuk penyerahan Surat Penerimaan (Letter of Acceptance - LoA) kapal MPMS selain menyaksikan pelbagai MoU lain.
Bagaimana pun, kenyataan ringkas tersebut tidak memperincikan maklumat lain seperti limbungan perkapalan dan kos kontrak secara keseluruhan.

Secara logiknya kemungkinan besar kontrak pembinaan MPMS kedua ini akan dilakukan oleh syarikat sama yang sedang membina MPMS pertama iaitu DESAN Shipyard.
MPMS yang bersaiz sepanjang 99 meter boleh membawa 70 kru dibeli untuk memperkukuh keselamatan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan.
Ini bagi menangani pencerobohan dan menyokong operasi pencarian serta penyelamat, dengan kemampuan membawa bot laju dan berfungsi sebagai pusat logistik.
Perkembangan baharu tentang perolehan aset APMM ini menarik perhatian dan dilihat sebagai sangat positif terhadap pembangunan agensi kawalan maritim tersebut.


Kerajaan sebelum ini melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memeterai perolehan MPMS pertama bernilai RM304 juta dari Türkiye.
Perolehan MPMS ini dimeterai di Putrajaya semasa lawatan Presiden Türkiye, Tayyep Edrogan ke Malaysia pada Februari tahun lalu.
Penyerahan Surat Setuju Terima pula dilakukan kerajaan pada bulan Mac manakala kerja pembinaan dimulakan (keel laying) pada Ogos tahun sama.
Blok-blok kapal yang telah direka bentuk akan disiapkan dan kemudian disambung secara berperingkat di limbungan.
MPMS akan menjadi aset utama APMM untuk meningkatkan keupayaan operasi maritim negara.


Perolehan kapal MPMS merupakan langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Kapal tersebut dilengkapi spesifikasi canggih mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain lengkap dengan aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC) dan dua dron udara.
Ia juga mempunyai dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan dan ruang tahanan.
Kapal MPMS pertama APMM dijangka diterima pada tahun hadapan dan bakal menjadi aset penting dalam memperkukuh kawalan maritim negara. - DagangNews.com



