Malaysia berada pada kedudukan baik pacu integrasi ekonomi ASEAN - Nazir Razak

LocalBusiness & Finance
27 May 2025 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia berada pada kedudukan baik pacu integrasi ekonomi ASEAN - Nazir Razak

image is not available

27/05/2025 - 16:20

KUALA LUMPUR 27 Mac - Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia berada dalam kedudukan yang unik untuk memimpin rantau ini ke arah integrasi ekonomi yang lebih baik, kata Tan Sri Nazir Razak.

Beliau berkata, peningkatan perlindungan perdagangan dan perubahan dalam rantaian bekalan global seharusnya menjadi pemangkin kepada ASEAN untuk terus berdagang dengan lebih banyak antara satu sama lain, melabur lebih banyak bersama dan membina asas pengeluaran tunggal yang sebenar.

“Telah berlaku perubahan besar dalam kepimpinan ASEAN; kita kini mempunyai barisan pemimpin berfikiran antarabangsa yang belum pernah kita lihat sebelum ini, dari Singapura dan Indonesia hingga Malaysia dan Kemboja,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim “mempunyai hubungan baik dengan kesemua mereka”.

Nazir yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd bercakap sebagai pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dalam acara pembuka tirai menjelang Forum Perniagaan ASEAN 2025 yang akan berlangsung pada hari 29 Mei ini.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ASEAN-BAC Malaysia, serta dianjurkan oleh CGS International Securities dengan kerjasama MBSB dan OCBC Malaysia.

Beliau menggesa pemimpin dalam blok 10 negara itu untuk mengambil langkah konkrit ke arah integrasi ekonomi yang lebih maju, termasuk mengurangkan halangan bukan tarif yang semakin meningkat, sambil memberi amaran, rantau ini berisiko terlepas peluang penting untuk melaksanakan reformasi di tengah-tengah tekanan luaran yang semakin buruk.

Antara langkah utama yang dicadangkan oleh ASEAN-BAC termasuklah memperkasa Sekretariat ASEAN bagi memainkan peranan penguatkuasaan yang lebih kuat terhadap peraturan bukan tarif, serta penubuhan Entiti Perniagaan ASEAN, satu rangka kerja bagi memudahkan operasi rentas sempadan dan pergerakan bakat dalam rantau ini.

“Jika kita tidak dapat mempercepatkan integrasi ekonomi dalam persekitaran luaran yang sangat mencabar ini, bila lagi kita akan melakukannya?”

“Hampir 99% barangan yang didagangkan dalam ASEAN telah dikenakan sifar tarif, tetapi halangan bukan tarif pula semakin meningkat. Sudah tiba masanya ASEAN mengambil tindakan tegas," katanya.

Forum ini dijadualkan berlangsung seiring dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China, dan akan menghimpunkan lebih 500 peserta, termasuk pembuat dasar kanan, syarikat serantau dengan nilai permodalan pasaran melebihi RM1 trilion, serta pengurus dana yang menguruskan lebih RM8 trilion aset.

Antara acara kemuncak forum itu ialah sesi libat urus korporat dan padanan perniagaan yang bertujuan menggalakkan kerjasama pelaburan intra-ASEAN dan ASEAN-China.

Tujuh memorandum persefahaman dan satu surat hasrat dijadualkan untuk ditandatangani sepanjang forum, melibatkan bidang seperti pelaburan ke dalam Malaysia, penubuhan dana ekuiti swasta ASEAN, dana ekuiti swasta berfokuskan penjagaan kesihatan, dan pelaburan strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.- DagangNews.com

standard