KUALA LUMPUR - Malaysia berpotensi menjadi hab pencampuran dan bunkering Very Low Sulphur Fuel Oil (VLSFO) serantau serta menjana aktiviti ekonomi merentasi rantaian bekalan.
Pemain Industri Maritim, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, Malaysia mempunyai hampir semua keperluan asas untuk membangunkan industri bahan api marin berkenaan, termasuk sumber bahan mentah, kemudahan penyimpanan, pelabuhan serta kedudukan strategik di laluan utama perkapalan dunia.
Menurutnya, kerajaan perlu melihat sektor berkenaan sebagai peluang meningkatkan aktiviti bernilai tambah dalam negara, bukannya sekadar menerima, menyimpan dan memindahkan kargo petroleum.
"Pembangunan Malaysia sebagai hab pencampuran dan bunkering VLSFO serantau boleh menjana aktiviti ekonomi merentasi rantaian bekalan, termasuk penyimpanan, perdagangan, pengangkutan, perkapalan dan pembekalan bahan api kepada kapal.
"Daripada sekadar menerima dan memindahkan kargo, kita perlu mencipta lebih banyak nilai daripada sumber yang sudah kita miliki," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujar beliau, peningkatan permintaan bahan api di Asia susulan gangguan bekalan minyak turut membuka peluang kepada Malaysia memperluas bekalan petroleum dan bahan api marin ke pasaran serantau.
Beliau berkata, Malaysia berpotensi menghasilkan dan membekalkan VLSFO, iaitu bahan api marin dengan kandungan sulfur rendah, selain membangunkan aktiviti pencampuran serta pengisian bahan api kapal atau bunkering.
"Indonesia mempunyai petroleum dan minyak sawit, manakala Filipina mempunyai minyak kelapa.
"Sumber seperti ini boleh diteroka untuk industri bahan api marin," katanya.
Jeyenderan berkata, kedudukan Malaysia di laluan utama perkapalan antarabangsa memberikan kelebihan besar kerana jumlah kapal yang melalui perairan negara boleh mewujudkan pasaran tetap bagi perkhidmatan bahan api marin.
Katanya, peluang berkenaan perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kutipan hasil kerajaan selain memberi kesan ekonomi lebih besar kepada sektor swasta.
"Dilaporkan kutipan cukai langsung Malaysia tahun lalu mencapai RM203.991 bilion, manakala negara jiran kita mengutip RM310.38 bilion.
"Dengan sumber dan infrastruktur yang kita ada, sebenarnya kita mampu menjana lebih banyak hasil," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata potensi itu hanya dapat direalisasikan sekiranya kerajaan menyediakan peraturan yang jelas bagi mengawal pergerakan dan penggunaan kargo petroleum, khususnya kargo yang diisytiharkan menggunakan Borang Kastam No. 8 (K8).
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan setiap kargo direkod dan dijejaki dengan jelas apabila disimpan, dipindahkan atau melalui proses pencampuran.
"Kita memerlukan peraturan yang jelas mengenai apa yang boleh dilakukan terhadap kargo selepas ia memasuki tangki penyimpanan, terutama apabila produk petroleum berbeza dicampurkan.
"Ini penting untuk melindungi hasil kerajaan, mengelakkan ketirisan serta memberikan kepastian kepada pemain industri,” katanya.



