Malaysia boleh contohi Australia tingkat ketelusan sistem pendakwaan

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia boleh contohi Australia tingkat ketelusan sistem pendakwaan
Melissa

SHAH ALAM - Malaysia berpotensi meningkatkan ketelusan dan keyakinan awam terhadap sistem keadilan jenayah dengan mencontohi amalan terbaik dari Australia, khususnya dalam aspek pengendalian kes dan peranan Pendakwa Raya.

Pesuruhjaya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Melissa Akhir berkata, Australia melaksanakan beberapa penambahbaikan yang membolehkan orang awam memahami dengan lebih jelas proses pendakwaan termasuk peranan Timbalan Pendakwa Raya dan bagaimana sesuatu kes dikendalikan.

Menurutnya, pendekatan itu memberi ruang kepada masyarakat untuk mengetahui sebab sesuatu kes menang atau kalah termasuk bukti yang digunakan dalam prosiding mahkamah.

“Penambahbaikan seperti ini boleh membantu rakyat memahami apa yang berlaku dalam sesuatu kes, sekali gus meningkatkan kepercayaan terhadap sistem keadilan jenayah,” katanya kepada Rasuah Busters ketika ditemui selepas forum mengenai pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Wisma Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya berkata, Malaysia boleh mengadaptasi amalan tersebut melalui pindaan undang-undang dan penambahbaikan dalam sistem pelaksanaan kes dengan mengambil kira kesesuaian konteks tempatan.

Ujar Melissa, kerajaan sememangnya mempunyai pengalaman dalam membuat perbandingan dan berkongsi amalan terbaik dengan negara lain termasuk di peringkat antarabangsa.

“Amalan positif dari negara lain boleh disesuaikan dengan konteks Malaysia. Saya percaya Malaysia dan Australia sebagai negara di rantau Asia Pasifik serta anggota Komanwel boleh bekerjasama untuk memperkukuh sistem masing-masing,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan garis panduan yang jelas dan konsisten dalam sistem pendakwaan, bukan sahaja dari segi perundangan bertulis tetapi sebagai amalan yang diterapkan dalam budaya kerja.

“Kita perlu ada garis panduan yang jelas, sama ada di atas kertas atau dari segi amalan yang konsisten supaya rakyat dan pegawai kerajaan memahami peranan masing-masing dengan lebih baik.

"Usaha memperkukuh profesionalisme dalam sistem keadilan jenayah akan membantu memastikan ketelusan, kejelasan dan kepercayaan awam terus dipertingkatkan,” katanya.