Malaysia bukan anti-Yahudi tetapi menentang negara zalim - Anwar

LocalPolitics
24 Jul 2026 • 3:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia bukan anti-Yahudi tetapi menentang negara zalim - Anwar
Anwar (dua dari kanan) meninggalkan majlis selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusasda Port Dickson hari ini. - Foto: Bernama

PORT DICKSON - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa keputusan Malaysia menyekat kemasukan warganegara Israel bukan berpunca daripada sentimen anti-Yahudi, sebaliknya pendirian menentang kezaliman dan penjajahan Israel.

Beliau berkata, dakwaan bahawa Malaysia bersikap antibangsa Yahudi adalah tidak benar kerana pendirian negara berdasarkan tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin.

Anwar berkata, Malaysia juga tidak akan berganjak dalam isu sekatan terhadap warga Israel meskipun terdapat tekanan daripada penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS).

" … masalahnya (bukan) kita menghina Yahudi, (sebaliknya) kita menentang kekejaman, kezaliman, penjajahan Israel. Itu yang kita kena jelaskan. Mereka bangkitkan seolah-olah kita ini antikaum. Kita bukan antikaum, kita antinegara yang zalim," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Baru-baru ini, seorang warga AS diminta meninggalkan Malaysia selepas dikenal pasti memiliki kewarganegaraan Israel.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan warga Israel sertai Network School di Forest City, Onn Hafiz gesa siasatan menyeluruh

Syabas rakyat Malaysia prihatin tentang Network School

Isu Network School: Ahli Kongres AS desak semak hubungan AS - Malaysia

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat selaras dengan dasar imigresen negara yang tidak mengiktiraf Israel serta pasport yang dikeluarkan negara berkenaan.

Sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres AS menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan.

Beliau berkata, pendirian Malaysia berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved