Malaysia cadang hidupkan semula IZO, bantu umat Islam global – Ahmad Zahid

LocalPolitics
8 Nov 2026 • 5:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia cadang hidupkan semula IZO, bantu umat Islam global – Ahmad Zahid

ISTANBUL: Malaysia mencadangkan agar Pertubuhan Zakat Antarabangsa (IZO) dihidupkan semula bagi menyelaras pengumpulan dan pengagihan dana zakat di peringkat global, khususnya demi membela nasib negara Islam miskin serta komuniti minoriti Muslim di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan mengaktifkan semula IZO yang ditubuhkan pada 2008 itu pernah diilhamkan oleh pelopor perbankan Islam dari Arab Saudi, Allahyarham Sheikh Saleh Abdullah Kamel sewaktu era pentadbiran Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menjelaskan IZO berpotensi digerakkan menerusi sumbangan negara Islam kaya, selain meneroka mekanisme penyaluran faedah deposit hasil minyak ‘petrodolar’ di bank-bank antarabangsa yang tidak dituntut pemiliknya kerana larangan riba.

“Ini kerana terdapat negara yang tidak mengambil faedah daripada simpanan atau deposit bank berkenaan kerana menganggapnya sebagai riba,” katanya kepada media Malaysia di sini sempena sidang media penutup lawatan kerja empat hari beliau ke Turkiye yang berakhir hari ini.

Sistem petrodolar merujuk kepada penggunaan Dolar Amerika Syarikat (USD) sebagai mata wang utama dalam urus niaga minyak di peringkat global.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dana berkenaan seterusnya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak di negara Islam miskin serta negara yang mempunyai komuniti minoriti Muslim sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata, cadangan itu antara perkara utama yang dibincangkannya sewaktu menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Sohail Mahmood pada 6 November lepas.

Mengimbau sejarah organisasi itu, Ahmad Zahid berkata, beliau pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah IZO sewaktu memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2008.

Menurut Ahmad Zahid, pada ketika itu, inisiatif strategik Malaysia berkenaan dirangka di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan sasaran awal mengumpul dana RM10 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi khidmat nasihat firma kewangan antarabangsa.

Selain penyelarasan zakat global, Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mengadakan perbincangan terperinci bagi memperkukuh kerjasama strategik dengan Turkiye dalam industri halal antarabangsa.

Beliau berkata berbekalkan pengalaman luas selama 52 tahun dalam pensijilan halal, Malaysia berhasrat memperluas jaringan dan penembusan produk halal ke pasaran dunia yang semakin berkembang pesat.

“Turkiye mempunyai pengeluaran produk halal yang meluas, bukan sahaja dalam sektor makanan dan minuman, malah perubatan, kosmetik dan vaksin. Dengan pasaran halal global dianggarkan bernilai USD1.3 trilion menjelang 2030, Malaysia perlu mengambil peluang memperkukuh kerjasama dengan Turkiye dan negara Islam lain,” katanya.

Terdahulu, lawatan kerja empat hari Ahmad Zahid dari 5 hingga 8 November memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Turkiye menerusi kerjasama diplomatik, perdagangan, pertahanan dan pendidikan, selain penyertaan beliau dalam TRT World Forum 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC). – BERNAMA

The post Malaysia cadang hidupkan semula IZO, bantu umat Islam global – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved