Malaysia catat jualan RM625.42 juta di CAEXPO 2023 - Matrade

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2023 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia catat jualan RM625.42 juta di CAEXPO 2023 - Matrade

zulfadli

02/10/2023 - 17:59

KUALA LUMPUR 2 Okt - Malaysia merekodkan keseluruhan jualan eksport bernilai RM625.42 juta semasa penyertaan di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO 2023) ke-20 di Nanning, China, yang baru sahaja berakhir.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, jualan eksport yang direkodkan adalah dalam sektor makanan dan minuman, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, produk gaya hidup dan perkhidmatan.

Sejumlah 107 syarikat Malaysia dan sembilan agensi kerajaan menyertainya dengan 116 reruai di CAEXPO 2023 yang berlangsung dari 16 hingga 19 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, China rakan dagang terbesar Malaysia, kekal menjadi satu daripada pasaran eksport paling penting bagi syarikat Malaysia.

"Susulan strategi dan usaha proaktif Matrade termasuk menyusun aktiviti berimpak dan pertemuan perniagaan, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO memperoleh nilai jalan eksport yang besar dan menjalin perkongsian perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Mustafa berkata, penyumberan berterusan oleh pembeli China menunjukkan kualiti, daya tahan dan daya saing produk dan perkhidmatan Malaysia, memanfaatkan momentum pertumbuhan perdagangan antara Malaysia dan China di CAEXPO sejak 20 tahun lepas.

"Matrade berbangga dengan usahanya selama tiga dekad meneruskan kecemerlangan global untuk terus menumpu meningkatkan libat urus lebih rapat lagi dengan komuniti perniagaan China dalam menghubungkan mereka dengan pengeksport Malaysia untuk memacu eksport ke China," katanya.

image is not available
Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz

Dari tempoh 2004 hingga 2022, perdagangan Malaysia dengan China berkembang hampir enam kali ganda, Bernama melaporkan.

China merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia pada 2004 dan kemudiannya meningkat menjadi rakan dagang terbesar Malaysia pada 2009 bagi 14 tahun berturut-turut dengan purata pertumbuhan tahunan 12%.

China juga menjadi pasaran eksport kedua terbesar Malaysia pada 2022 dan sumber import terbesar Malaysia sejak 2011. - DagangNews.com