Malaysia Catat Pelaburan Diluluskan RM225 Bilion, Tertinggi Dalam Tempoh 10 Tahun

Business & Finance
6 Dec 2023 • 11:44 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi dengan jumlah RM225 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun ini, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Kenaikan sebanyak 6.6% yang disokong dengan 3,949 projek pelaburan dijangka akan membuka 89,495 peluang pekerjaan baharu.

Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi

image is not available

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peningkatan tersebut yang tertinggi dalam tempoh sedekad.

“Rekod pelaburan diluluskan tertinggi ini adalah lonjakan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu atau terbaik berbanding purata sembilan bulan berjumlan RM222.6 bilion dalam 10 tahun.

image is not available

“Daripada RM225 bilion ini, sejumlah 55.9 peratus disumbangkan daripada pelaburan langsung asing (FDI), manakala baki 44.1 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), selepas membentangkan kad laporan MITI setahun kerajaan MADANI di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah menunjukkan daya tahan yang tinggi dalam menentang ketidaktentuan operasi global merentasi pelbagai industri.

“Pelaburan dari negara seperti Belanda, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Jepun mencerminkan jenis pelaburan strategik berteknologi tinggi yang Malaysia sasarkan daripada pemain global.

“Tetapi ini bukan masa untuk berpuas hati. MITI dan agensinya, MIDA akan terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya maju dan stabil.

image is not available

“Selain itu, ia juga akan membawa lebih banyak aliran pelaburan masuk secara strategik menerusi langkah mereka bentuk semula rantaian bekalan dalam landskap pelaburan global.

“Ia selaras dengan transformasi perindustrian kami seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” ujarnya.

image is not available

Dalam pada itu, daripada jumlah yang diluluskan terdapat lima negeri yang menunjukkan nilai pelaburan yang ketara berbanding negeri lain.

Antaranya adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM48.9 bilion), Pulau Pinang (RM44.9 bilion), Selangor (RM41. 6 bilion), Kedah (RM22.6 bilion) dan Johor (RM20 bilion).