Malaysia Catat Pertumbuhan KDNK Lebihi Jangkaan, Antara Ekonomi Terbaik ASEAN - PM

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2024 • 6:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Malaysia juga semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan global - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang melebihi jangkaan pada suku kedua 2024, iaitu 5.9 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan berkenaan diiktiraf antara ekonomi berprestasi terbaik di ASEAN dalam tempoh tersebut.

Menurut beliau, pencapaian mengagumkan itu turut mengatasi unjuran ahli ekonomi, yang telah disemak berikutan pengeluaran anggaran lanjutan. 

“Ini kali kedua berturut-turut Malaysia berjaya mengatasi jangkaan untuk tempoh suku kedua.

“Peningkatan ketara ini dibina atas permulaan kukuh yang kami ada pada awal tahun dan mencerminkan keputusan yang kadang kala sukar dibuat, dalam usaha melakukan pembaharuan dan transformasi Malaysia sejak mentadbir negara,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar PMO

Jelas Anwar, semua keputusan  diambil termasuk tindakan secara keras yang dilakukan berterusan bagi membanteras gejala rasuah, penyusunan semula subsidi dan penekanan kerajaan untuk mengejar pelaburan bernilai tinggi mula menampakkan hasil.

“Ini semua untuk mewujudkan ekonomi bernilai lebih tinggi yang menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Tegas beliau, Malaysia juga semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan global dan ia antara lain mencakupi pembesaran gergasi semikonduktor Jerman, Infineon, berjumlah RM25 bilion merangkumi kilang baharu yang canggih untuk pengeluaran semikonduktor bernilai tinggi. 

“Dan pelbagai pelaburan baharu diumumkan tahun ini daripada gergasi teknologi global yang anda sudah kenali (seperti) Google, Microsoft, NVIDIA dan banyak lagi.

“Pemulihan ringgit baru-baru ini berbanding dolar AS dan mata wang utama lain, bersama-sama dengan kenaikan pesat FBM KLCI tahun ini juga mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur,” katanya.

image is not available
Gambar PMO

Anwar menarik perhatian, kerajaan juga telah mewujudkan rangka kerja jangka sederhana Ekonomi MADANI dan pelbagai dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, dan Strategi Semikonduktor Nasional  yang diumumkan baru-baru ini.

“Semua dasar itu direka untuk memperkenalkan industri bernilai tinggi dan mampan untuk Malaysia memiliki kitaran pertumbuhan ekonomi baharu.

“Sasaran kerajaan adalah untuk memacu pertumbuhan (ekonomi) negara sekurang-kurangnya 5.5 peratus setahun atau 6 peratus yang akan meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar di dunia dan antara yang paling berdaya saing di peringkat global,” katanya. 

Bagaimanapun jelas Anwar, angka tersebut tidak bermakna jika rakyat tidak berkongsi manfaat. 

“Apa yang akhirnya ditetapkan oleh rangka kerja Ekonomi MADANI untuk dicapai ialah masyarakat yang lebih saksama, dan negara yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan sosial.

“Ini mungkin impian yang tinggi (tetapi) saya yakin ia boleh dicapai dengan syarat seluruh negara bekerjasama,” katanya. - Getaran, 17 Ogos 2024