Malaysia-China meterai MoU perkukuh kerjasama sektor pengangkutan

23 Sep 2026 • 10:25 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Malaysia dan China memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pengangkutan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk pengangkutan darat dan rel, maritim serta penerbangan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu hantaran di Facebook berkata, MoU Kerjasama Pengangkutan Malaysia-China menyediakan kerangka rasmi untuk kedua-dua negara memperluas kerjasama dalam sektor pengangkutan, selain memberi tumpuan kepada teknologi, logistik serta pembangunan pengangkutan hijau.

“Kerjasama ini merangkumi pengangkutan darat dan rel, maritim, penerbangan, logistik, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), selain pengangkutan hijau serta pembangunan infrastruktur rendah karbon.
“Melalui kerjasama ini, kita juga memberi tumpuan kepada pertukaran kepakaran teknikal dan pembangunan kapasiti bagi memperkukuh keupayaan kedua-dua negara dalam sektor pengangkutan,” katanya hari ini.

Menurut MOT, kerjasama berkenaan turut berperanan menyokong usaha Malaysia memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan berasaskan teknologi serta memantapkan kedudukan negara sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.

Dalam lawatan rasmi ke Beijing itu, menterinya Anthony Loke Siew Fook mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Pengangkutan China, Liu Wei yang turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Pengangkutan Malaysia-China.

Image from: Malaysia-China meterai MoU perkukuh kerjasama sektor pengangkutan

Pada masa sama, Loke turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Civil Aviation Administration of China (CAAC).

MoU berkenaan merangkumi aspek kelayakan, pensijilan, pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.

“Kerjasama ini akan terus memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam antara kedua-dua negara, di samping mengurangkan pertindihan dalam proses teknikal.
“Ia juga akan memudah cara pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara Malaysia dan China,” ujar MOT.

Image from: Malaysia-China meterai MoU perkukuh kerjasama sektor pengangkutan

Dalam perkembangan sama, Loke turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pentadbir National Railway Administration of China, Song Xiude bagi bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel.

Pertemuan itu turut menyentuh aspek keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penerapan teknologi dalam sektor rel.

Image from: Malaysia-China meterai MoU perkukuh kerjasama sektor pengangkutan

Jelas MOT lagi, lawatan rasmi berkenaan mencerminkan hubungan dua hala Malaysia-China yang terus berkembang, khususnya dalam menterjemahkan hubungan erat antara kedua-dua negara kepada kerjasama yang memberi manfaat kepada sektor pengangkutan.

“Kerjasama pengangkutan antara Malaysia dan China akan terus diperkukuh menerusi pendekatan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan.
“Ia juga mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperluas kerjasama dalam sektor pengangkutan seiring perkembangan hubungan dua hala Malaysia-China,” tambahnya.

Sumber: Facebook MOT

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved