Malaysia dapat lampu hijau bantu Indonesia padam kebakaran

LocalEnvironment
19 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia dapat lampu hijau bantu Indonesia padam kebakaran
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto: Biro Pers, Media, dan Informasi Sekretariat Presiden

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menerima tawaran Malaysia untuk membantu negara tersebut menangani kebakaran terbuka yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keizinan tersebut dizahirkan Prabowo sewaktu pertemuan selama dua jam di kediaman beliau pada Jumaat.

Menurutnya, tawaran tersebut bukan sekadar usaha jangka pendek bagi memadamkan kebakaran, sebaliknya turut melibatkan perancangan jangka panjang bagi memastikan masalah jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah tidak berulang.

"Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Presiden Prabowo, termasuk mengenai langkah proaktif yang perlu dilaksanakan bagi menangani kebakaran bukan sahaja di Kalimantan, malah di Sumatera dan beberapa wilayah lain di Indonesia" katanya dalam satu sidang akhbar pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan maklumat diterima, sebanyak 1,426 titik panas direkodkan di Kalimantan, sekali gus memerlukan tindakan berterusan dan pendekatan jangka panjang bagi mengurangkan risiko kebakaran serta pencemaran jerebu.

Menurut beliau, Presiden Prabowo turut memaklumkan bahawa tindakan perundangan diambil terhadap 95 syarikat yang didapati terlibat dalam kebakaran secara terbuka di kawasan berkenaan di Kalimantan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, Malaysia menyambut baik langkah diambil kerajaan Indonesia termasuk usaha pemadaman yang sedang dijalankan dengan bantuan beberapa negara sahabat.

“Bagi Malaysia, tentunya kita menyambut baik langkah-langkah yang telah dilakukan dan usaha pemadaman yang berterusan juga telah mendapat bantuan daripada beberapa negara sahabat Indonesia.

“Tentunya Malaysia sebagai negara jiran yang terdekat tidak akan terlepas daripada menyantuni masalah ini dan terus memberikan kerjasama,” ujarnya.

Ditanya mengenai 95 syarikat didapati terlibat dalam kebakaran terbuka di Kalimantan melibatkan syarikat dari Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, tiada maklumat mengenainya diberikan setakat ini dan pihak Indonesia sedang meneliti sekiranya terdapat penglibatan dari Malaysia.

“Syarikat-syarikat itu didaftarkan atas nama syarikat yang didaftarkan di Indonesia, mungkin dari segi pemegang saham terdapat beberapa jumlah yang kecil syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh pemegang saham daripada Malaysia,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved