Malaysia destinasi mesra Muslim terbaik OIC

1 Jun 2023 • 6:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Malaysia diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ OIC dan ‘Destinasi Mesra-Wanita Muslim Terbaik’ oleh CrescentRating dan Mastercard di Singapura pada Khamis.

PUTRAJAYA - Malaysia diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ‘Destinasi Mesra-Wanita Muslim Terbaik’ oleh CrescentRating dan Mastercard pada Halal in Travel Awards yang diadakan di Singapura pada Khamis.

Pada majlis sama, Malaysia sekali lagi mendahului senarai dalam carta ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2023.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan dan penjenamaan Malaysia sebagai peneraju segmen Pelancongan Islam serta Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pelancong Muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah 2 bilion di seluruh dunia.

Kadar pemulihan pelancongan Islam di peringkat global juga memberangsangkan apabila mencatatkan 110 juta ketibaan pelancong Muslim pada tahun lepas, katanya.

"Malaysia turut mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya menarik seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara ini pada tahun lalu dengan jumlah perbelanjaan pelancong Muslim sebanyak RM5.37 bilion,” katanya.

King Sing berkata, usahawan dan penggiat industri tempatan digalakkan mengembangkan tawaran khidmat mesra-Muslim sebagai satu nilai tambah dalam menyebarluaskan industri pelancongan Islam dalam negara.

Mereka digalakkan menyertai kursus dan program di bawah ITC antaranya, kursus ‘Muslim-Friendly Tourist Guide’ (MFTG) yang terbuka kepada pemandu pelancong berlesen tempatan dan program ‘Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition’ (MFAR) yang memberi peluang pengembangan perniagaan kepada rakyat menerusi pelancongan Islam yang berkembang pesat. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved