
KUALA LUMPUR - Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk memenuhi minat mendalam Rusia terhadap industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selaras dengan perkembangan sektor berkenaan di Malaysia.
Menurut beliau, nilai yang dikongsi secara bersama ini pasti memberi manfaat besar kepada warga Muslim dan kedua-dua negara.
“Rusia mempunyai seramai 25 juta warga Muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia.
“Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan,” katanya.
Perdana Menteri menyatakan demikian pada pertemuan bersama Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Rusia, Rushan Hazrat Abbyasov hari ini.
Turut hadir mengiringi Abbyasov ialah Wakil Diplomat Jabatan Spiritual Wilayah Timur Jauh, Jamal Sirenevich Garifullin.

Anwar mengulas pertemuan berkenaan berkata, ia menjadi satu peringatan kepada hubungan terdalam warga Muslim di kedua-dua negara, melangkaui jarak serta benua yang memisahkan.
“Kami menyentuh mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia yakni Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia dan lainnya.
“Di ruang yang sama turut ditekankan mengenai kepentingan memupuk nilai dan insititusi kekeluargaan selain tumpuan diberikan secukupnya dalam membangun masyarakat dengan nilai dan etika di samping berusaha melonjak negara ke tahap membanggakan,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, pendekatan yang sama juga diambil di Malaysia menerusi konsep Malaysia MADANI dalam menggapai maksud dan objektif tersebut.
“Kunjungan ke Rusia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah,” katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, hari ini.

Pertemuan bilateral itu bersempena dengan lawatan kerja dua hari Anwar ke Rusia dan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada sidang pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan, esok.
Anwar tiba di Vladivostok pada 8.33 pagi waktu tempatan (6.33 pagi waktu Malaysia) hari ini.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Turut mengiringi beliau pada lawatan rasmi berkenaan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Tailb dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan. - Getaran, 4 September 2024



