
PETALING JAYA: Malaysia dikenakan tarif sebanyak 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah Seksyen 301 berkaitan isu buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 pagi waktu AS pada 24 Julai 2026.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia merupakan antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain yang terlibat dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus.
Katanya, kadar tarif yang lebih rendah itu ditetapkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) mengambil kira komitmen Malaysia dalam melaksanakan serta menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
“Tarif 10 peratus itu mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti pengeluaran berlebihan yang melibatkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.
“USTR masih belum memuktamadkan kadar tarif bagi siasatan berkenaan dan kementerian akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada semua pihak berkepentingan sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan,” katanya.
Dalam pada itu, MITI berkata, pihaknya akan terus mengadakan libat urus dengan AS bagi memastikan kepentingan perdagangan dan eksport negara terus terpelihara.
“Keputusan itu dilihat memberi sedikit kelegaan kepada Malaysia apabila kadar tarif yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding 12.5 peratus yang dikenakan ke atas beberapa ekonomi lain yang turut terlibat dalam siasatan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, AS mengenakan tarif sementara ke atas import dari Malaysia di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Dengan penamatan tempoh pelaksanaan tarif sementara itu, kerajaan AS kini menguatkuasakan tarif baharu di bawah Seksyen 301 yang berkaitan dengan isu buruh paksa, pada kadar 10 peratus bermula 24 Julai 2026. – UTUSAN
The post Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh AS bermula hari ini appeared first on Utusan Malaysia.





