Malaysia duduki tempat keenam Komanwel dalam keupayaan belia kuasai AI, atasi India dan New Zealand – Kajian Ayre Think Tank

LocalTechnology
5 Nov 2026 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia duduki tempat keenam Komanwel dalam keupayaan belia kuasai AI, atasi India dan New Zealand – Kajian Ayre Think Tank Image from: Malaysia duduki tempat keenam Komanwel dalam keupayaan belia kuasai AI, atasi India dan New Zealand – Kajian Ayre Think Tank liza05/11/2026 - 09:46 Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov – Malaysia menduduki tempat keenam daripada 56 negara Komanwel dalam Indeks Kesediaan AI Belia Komanwel 2026 mengatasi India, New Zealand dan Afrika Selatan dengan skor 69 daripada 100 mata.

 

Kedudukan itu meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di Asia dalam kalangan negara Komanwel selepas Singapura.

 

Kajian Ayre Think Tank itu turut menganggarkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi meningkatkan saiz ekonomi Malaysia sebanyak AS$9.4 bilion selepas tempoh 10 tahun.

 

Anggaran berkenaan merangkumi AS$4.7 bilion dalam senario konservatif dan sehingga AS$14.2 bilion dalam senario paling optimistik.

 

Kemahiran digital belia jadi kelebihan

Antara kekuatan utama Malaysia ialah 41.9% golongan muda pernah menulis program komputer berdasarkan tinjauan isi rumah pada 2024, peratusan tertinggi dalam kalangan 10 negara teratas indeks berkenaan.

 

Malaysia turut mencatatkan skor 8.6 daripada 10 bagi akses kepada teknologi dan 8.5 bagi keupayaan digital serta AI.

 

Keupayaan itu menjadi asas penting untuk kira-kira 8.9 juta golongan muda di negara ini memanfaatkan AI bagi membangunkan perniagaan dan meneroka peluang pekerjaan baharu.

 

Aspek keselamatan pengguna perlu diberi perhatian

Bagaimanapun, Malaysia masih berdepan kelemahan dalam aspek hak, keselamatan dan penyertaan golongan muda apabila hanya memperoleh skor 3.8 daripada 10, iaitu komponen terendah dalam penilaian tersebut.

 

Kajian itu turut mendapati dasar guru kebangsaan yang diteliti tidak menyatakan AI secara jelas meskipun teknologi berkenaan sudah digunakan dalam sektor pendidikan.

 

Dapatan itu menunjukkan keperluan memperkukuh perlindungan pengguna muda, termasuk memastikan mereka mampu mempersoalkan dan menilai keputusan yang dibuat oleh sistem automatik.

 

Kerajaan sasarkan 200,000 individu berkemahiran AI

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan pada Oktober 2026 mengumumkan sasaran membangunkan 200,000 individu berkemahiran AI, membantu 4,000 perniagaan kecil menggunakan teknologi itu serta melatih 5,000 profesional AI.

 

Program AI untuk Rakyat pula menyasarkan penyediaan akses kepada peralatan dan latihan AI kepada 100,000 belia Malaysia menjelang 2027.

 

Pengasas Ayre Think Tank, Calvin Ayre berkata, negara perlu memastikan golongan muda mempunyai kemahiran dan peluang untuk memanfaatkan perubahan teknologi, termasuk dalam pekerjaan dan pembangunan perniagaan.

 

Indeks berkenaan menilai kesediaan golongan berusia 15 hingga 29 tahun di 56 negara Komanwel berdasarkan 1,128 sumber penyelidikan. Daripada jumlah itu, hanya 15 negara mencapai penanda aras kesediaan AI sebanyak 53 mata. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved