Malaysia giat perkasa wanita, namun perlu lebih banyak sokongan: Women In Tech

1 May 2023 • 10:58 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Negara-negara yang berhasrat untuk mencapai kemajuan ekonomi, perlu mengiktiraf kepentingan penyertaan golongan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM), kata pertubuhan bukan berkeuntungan global, Women In Tech.

Pengarah Negara pertubuhan itu, Yuki Aizawa berkata biarpun dilihat progresif dalam usaha memperkasa hak wanita, Malaysia sebaliknya tidak mempunyai sokongan mencukupi yang diperlukan dalam memastikan kemampuan wanita untuk cemerlang dalam STEAM serta bidang lain menerusi persekitaran yang selamat dan saksama.

“Wanita adalah kelompok sumber yang tidak banyak dimanfaatkan. Di Malaysia misalnya, banyak syarikat-syarikat besar yang sudah mula mengiktiraf kepimpinan wanita susulan ketetapan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dan matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dapat diukur.

“Organisasi sedemikian tiada pilihan kecuali menghasilkan laporan kemampanan dan ketelusan termasuk maklumat seperti data skala gaji, jurang bayaran mengikut jantina, penggajian dan pembuangan pekerja.

“Menerusi faktor ‘terpaksa’ seperti ini akan mendorong kepada perubahan budaya dan wanita akan mempunyai ruang untuk bersuara dan membincangkan isu-isu secara bebas,” katanya.

Beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan 98.5 peratus daripada semua perniagaan di Malaysia, masih menyaksikan jurang besar yang perlu ditampung dengan sistem sokongan mandatori.

Ini termasuk rangka kerja undang-undang, dasar dan libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan wanita mendapat sokongan saksama dalam perjalanan kerjaya mereka.

“Sebagai contoh, jika terdapat keperluan seorang wanita dan 10 lelaki bekerja di bidang teknikal dan perlu bekerja lebih masa, ini sudah pasti menjadi ruang kurang selamat untuk wanita tersebut. Sehubungan itu, mandat seperti (peraturan) berkaitan dengan anti-gangguan seksual perlu dilaksanakan,“ katanya.

Bagi cawangannya di Malaysia, Aizawa berkata pihak Women in Tech sentiasa berusaha untuk menghubungkan serta menyokong golongan wanita menerusi acara jaringan serta program komuniti.

“Apa perlunya kita melahirkan lebih banyak pemimpin wanita untuk menghapuskan jurang (antara gender)? Ini disebabkan kita telah melihat wujudnya trend membuat keputusan lebih baik serta prestasi syarikat secara keseluruhannya yang turut bertambah baik. Malah, ini disebabkan wanita juga mampu melakukan perkara sama, jika tidak lebih baik, dalam industri tertentu.

“Pelajar perempuan juga misalnya dapat mencatat prestasi lebih baik berbanding lelaki di sekolah. Namun, data menunjukkan hanya 34 peratus daripada siswazah STEAM adalah wanita di negara ini.

“Dari segi tenaga kerja, wanita adalah 35 peratus dalam kelompok ekonomi digital dan 55 peratus dalam keseluruhan ekonomi,“ katanya.

Beliau berkata, maklumat STEAM /Indeks Jurang Gender Global 2022 menunjukkan wanita adalah 33 peratus daripada tenaga kerja pada 2022 namun hanya memegang 25 peratus jawatan kepimpinan di 20 syarikat teknologi global terbesar.

Justeru, Aizawa menekankan kepentingan keperluan sokongan terhadap wanita dalam usaha melanjutkan lagi pembangunan diri.

Sebarang jurang seperti budaya keluarga, kekurangan wanita yang boleh dijadikan contoh, berhenti kerja awal/cabaran kembali bekerja dan kecenderungan yang tidak disedari, perlu ditangani dengan anjakan minda komuniti secara beransur-ansur.

Women In Tech berpangkalan di Perancis dan diwakili di 45 negara/cawangan serta menyasarkan impak menerusi pembangunan kemahiran dan keyakinan selain mempersiapkan wanita untuk mencipta kejayaan.

Cawangan tempatan di Malaysia telah dilancarkan setahun lepas dan menumpukan aspek pendidikan, perniagaan (keusahawanan), nasihat dan keterangkuman sosial yang melibatkan projek memperkasa kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40). - Bernama