Malaysia Hanya 7.1% Di Bawah Ambang Pendapatan Tinggi, Kerajaan Pacu Produktiviti Dan Pekerjaan Berkualiti

29 Jul 2026 • 1:04 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Malaysia Hanya 7.1% Di Bawah Ambang Pendapatan Tinggi, Kerajaan Pacu Produktiviti Dan Pekerjaan Berkualiti
Imej oleh Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR — Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia, ketika ekonomi mencatat pertumbuhan 5.8 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus pada suku pertama. Kerajaan akan memastikan momentum tersebut diterjemahkan kepada produktiviti lebih tinggi, pekerjaan berkualiti dan peningkatan pendapatan rakyat.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, berkata demikian ketika melancarkan OECD Economic Surveys: Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. Laporan bebas dan berasaskan bukti itu akan menjadi rujukan penting untuk memperkukuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026–2030, serta mempercepat pembaharuan struktur ekonomi negara.

Image from: Malaysia Hanya 7.1% Di Bawah Ambang Pendapatan Tinggi, Kerajaan Pacu Produktiviti Dan Pekerjaan Berkualiti
Imej oleh Kementerian Ekonomi

“Ekonomi berkembang 5.8 peratus, inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus dan kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus. Malaysia juga kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi. Namun, kejayaan sebenar bukan sekadar melepasi ambang statistik, tetapi memastikan pertumbuhan itu dapat dilihat pada slip gaji, peluang pekerjaan dan kuasa beli rakyat,” katanya.

Pada 2025, Pendapatan Negara Kasar per kapita Malaysia meningkat kepada RM57,200 atau kira-kira AS$13,351, berbanding ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia sebanyak AS$14,375. Kerajaan mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi keseluruhan 2026, disokong oleh permintaan domestik, pelaburan swasta, eksport dan sektor berteknologi, termasuk semikonduktor dan pusat data.

Laporan OECD turut mengenal pasti cabaran struktur utama Malaysia, iaitu memastikan pelaburan dalam pendidikan dan latihan menghasilkan produktiviti serta pendapatan yang lebih tinggi. Keutamaan ini semakin mendesak apabila 35.6 peratus graduan tertiari masih berdepan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

Image from: Malaysia Hanya 7.1% Di Bawah Ambang Pendapatan Tinggi, Kerajaan Pacu Produktiviti Dan Pekerjaan Berkualiti
Imej oleh Kementerian Ekonomi

Di bawah RMK13, Kerajaan akan memperkukuh penyelarasan kurikulum dengan keperluan industri serta memperluas TVET, Academy-in-Industry dan program peningkatan kemahiran dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan dan ekonomi digital.

“Apabila 35.6 peratus graduan tertiari masih bekerja di bawah tahap kemahiran mereka, kita tidak boleh berpuas hati dengan jumlah graduan semata-mata. Pendidikan dan latihan mesti membawa kepada pekerjaan bernilai tinggi, produktiviti yang lebih kukuh dan gaji yang setimpal,” kata YB Akmal Nasrullah.

Pada masa sama, defisit fiskal Persekutuan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025. Kerajaan kekal komited menurunkannya kepada 3 peratus atau lebih rendah menjelang 2030 melalui penyasaran bantuan yang lebih tepat dan pengurangan ketirisan, tanpa mengabaikan perlindungan golongan rentan.

“Kita telah mengurangkan defisit daripada 5.5 peratus kepada 3.7 peratus dan menyasarkan 3 peratus atau lebih rendah menjelang 2030. Konsolidasi fiskal bukan bermaksud menarik bantuan rakyat, tetapi memastikan setiap ringgit digunakan dengan lebih berkesan untuk pendidikan, kesihatan dan infrastruktur,” katanya.

Bagi memperkukuh produktiviti, Akta ILTIZAM menetapkan sasaran pengurangan beban kawal selia yang tidak perlu sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun. Melalui PEMUDAH, Kementerian Ekonomi akan mengenal pasti kelulusan perniagaan berimpak tinggi untuk semakan menyeluruh, dengan standard perkhidmatan lebih jelas, keputusan lebih mudah dijangka dan akauntabiliti lebih tegas terhadap kelewatan.

OECD Economic Surveys: Malaysia 2026, yang merupakan Kajian Ekonomi OECD kelima mengenai Malaysia sejak 2016, menampilkan satu bab bertema penambahbaikan kemahiran, pendidikan dan latihan. Dapatan kajian ini akan membantu menyokong pelaksanaan RMK13 dalam bidang utama, termasuk produktiviti, pendidikan, pembangunan kemahiran, pendigitalan dan daya tahan iklim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved