Malaysia harus elak campur tangan dalam pasaran tukaran mata wang asing – Ketua Ahli Ekonomi AMRO

Business & Finance
11 Jul 2023 • 4:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia harus elak campur tangan dalam pasaran tukaran mata wang asing – Ketua Ahli Ekonomi AMRO

diyana

11/07/2023 - 16:36

KUALA LUMPUR 11 Julai - Malaysia harus mengelak daripada campur tangan dalam menangani kejatuhan ringgit, kata Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO), Hoe Ee Khor.

Beliau menjelaskan bahawa kelemahan ringgit kebanyakannya didorong oleh kuasa pasaran, mencerminkan sebaran kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, serta kelemahan dalam faktor luaran seperti permintaan eksport yang lemah.

"Ekonomi Malaysia berjalan dengan baik. Jadi tiada keperluan dalam mengambil langkah untuk mengukuhkan ringgit, walaupun campur tangan yang bijak mungkin kadangkala diperlukan bagi melancarkan turun naik.

"Selain itu, kami berpendapat bahawa tiada keperluan bagi penggubal dasar untuk campur tangan atau menggerakkan kadar pertukaran," katanya ketika taklimat kepada media secara maya mengenai tinjauan ekonomi serantau AMRO 2023 hari ini.

image is not available
Hoe Ee Khor

Beliau menyatakan bahawa ketika ringgit melemah berbanding dolar AS, realitinya hampir semua mata wang utama turut menyusut nilai berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia adalah antara negara yang paling teruk terjejas dari segi kejatuhan nilai mata wang berbanding dolar dan ini juga mencerminkan prestasi eksport tidak begitu baik serta harga komoditi telah jatuh.

Di samping itu, satu lagi sebab adalah kadar faedah Malaysia agak rendah, di mana terdapat jurang antara kadar faedah AS dan Malaysia, menyebabkan berlakunya sedikit 'carry trade', di mana ringgit melemah kerana kadar faedah yang lebih rendah.

Walaupun ekonomi tempatan melepasi inflasi puncak, Hoe melihat ruang untuk mengetatkan lagi dasar monetari kerana inflasi masih lebih tinggi daripada trend masa lalunya.

"Inflasi masih di atas trend jangka panjang, dalam erti kata bahawa jika kita melihat pada purata inflasi selama ini, ia adalah sekitar 2% dan 2.5%. Jadi, pandangan kami ialah dasar monetari harus dikekalkan, walaupun kemuncak inflasi telah berkurangan.

“Kami berpendapat bahawa tiada sebab untuk melonggarkan dasar monetari pada masa ini. Bank pusat harus terus mengekalkan kadar faedah, malah mengetatkan sedikit lagi jika perlu," tambah Hoe,” tambahnya. - DagangNews.com