Malaysia Jadi Negara Pertama Di Dunia Diberi Kebenaran Edar Kad Nusuk Kepada Jemaah Haji

23 Apr 2025 • 4:21 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Tidak dinafikan, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mendapat kepercayaan tinggi oleh negara-negara lain di serata dunia.

Lihat sahaja bagaimana paspost Malaysia kini berada di kedudukan ranking ke-8 terkuat di dunia pada tahun ini yang membolehkan pemegangnya mendapatkan akses tanpa visa ke 116 negara. Ini mencatatkan peningkatan drastik berbanding tempat ke-12 pada tahun sebelumnya.

Malah, Malaysia juga telah menerima tugas untuk menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

Malaysia diberi kebenaran edar kad Nusuk

Lebih membanggakan lagi, Malaysia juga berjaya menjadi negara pertama di dunia diberi kebenaran oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengedar kad Nusuk dalam negara ini kepada Jemaah Haji sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana kecekapan sistem pengurusan jemaah haji Malaysia.

“Tahun lepas, kad Nusuk diserahkan di Makkah menjelang Wukuf, namun tahun ini ia diagihkan lebih awal bagi memudahkan pergerakan jemaah.

“Jika kita berjaya menguruskan agihan kad Nusuk dalam negara ini, inisiatif ini akan diperluaskan ke negara Islam lain.

“Ia satu pengiktirafan besar daripada Kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan sistem pengurusan haji negara, hasil hubungan erat dan strategik antara Tabung Haji (TH) dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya dipetik Harian Metro.

Kerajaan Arab Saudi juga cekap urus kad visa dan tambah baik kad Nusuk

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kecepakan dalam pengeluaran visa serta penambahbaikan sistem kad Nusuk berkenaan.

“Insya-Allah, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha TH untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia,” katanya.

Berkongsi lanjut, beliau berkata proses pengeluaran visa bagi jemaah haji Malaysia musim 1446 Hijrah/2025 Masihi telah mencapai 45%.

“TH juga sudah bersedia sepenuhnya (untuk mengendalikan urusan jemaah haji Malaysia) dengan persiapan hampir 100%. Tahun ini, TH membawa seramai 632 petugas haji yang terdiri daripada petugas kebajikan, perubatan dan wakil agensi luar yang terbabit,” katanya.

Apa itu kad Nusuk?

Sekadar info, kad Nusuk merupakan kad pengenalan rasmi yang diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU) bagi semua jemaah haji dari seluruh dunia.

Inovasi kad Nusuk ini dapat meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji sekali gus mengatasi masalah jemaah ‘hilang’ atau tersesat.

Memetik kenyataan MOHU, kad ini mengandungi ciri keselamatan unik yang menyimpan segala maklumat jemaah haji dari seluruh dunia.

Source: