Malaysia Kecam Pihak Berkuasa Sweden Benarkan Bakar Al Quran, Penghinaan Untuk Islam 

29 Jun 2023 • 8:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zambry Abd Kadir - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kebenaran diberikan pihak berkuasa Sweden ke atas dua lelaki untuk membakar kitab suci Al-Quran menerima bantahan keras Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan provokasi yang berlaku semalam itu adalah satu penghinaan kepada seluruh umat Islam, apatah lagi ketika ada sebahagian penganut agama tersebut sedang merayakan Aidiladha.

Menurut beliau, perbuatan berkenaan jelas mencabuli prinsip saling menghormati dan memahami yang diterapkan di peringkat universal.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan provokasi membakar Al Quran di Stockholm, semalam.

“Memusnahkan kitab suci ini ketika umat Islam sedang merayakan Aidiladha adalah satu penghinaan kepada penganut agama berkenaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Zambry menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan dua lelaki yang membakar Al Quran di luar masjid utama Sweden, semalam.

Daily Mail melaporkan, perbuatan dua lelaki dengan seorang daripada mereka dikenali sebagai Salwan Momika itu turut disaksikan kira-kira 200 penduduk.

Sebelum membakar kitab suci tersebut, Salwan terlebih dahulu mengelap kasutnya menggunakan helaian Al-Quran yang telah dikoyak.

Lebih biadab, dia turut meletakkan hirisan daging babi pada kitab suci itu.

Rakannya pula melaungkan kata-kata kesat yang mencaci agama Islam menggunakan pembesar suara.

Berang dengan kelakuan biadab tersebut, seorang lelaki yang menyaksikan perbuatan mereka cuba melempar batu bagi menghentikan perbuatan berkenaan, tetapi dia ditahan polis tidak lama kemudian.

Segelintir penonton yang menyaksikan provokasi terbabit turut melaungkan kalimah suci ‘Allahuakba’ sebagai tanda protes.

Dua minggu lalu, mahkamah rayuan di Sweden menolak larangan polis berhubung protes insiden membakar Al-Quran yang mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Mengulas mengenai keputusan mahkamah Sweden itu, Zambry berkata, ia adalah tindakan yang jelas bertentangan dengan usaha diambil selama ini untuk memupuk sikap toleransi dan saling memahami antara satu sama lain.

“Malangnya keputusan mahkamah Sweden ini bukan satu perkembangan baik untuk usaha kita memperkukuh persefahaman dan sikap saling menghormati, demi manusia sejagat,” katanya.

Ini bukan kali pertama provokasi membakar Al Quran tercetus di Sweden, yang menduduki tangga keenam sebagai negara terbahagia di dunia.

Pada 21 Januari lalu, Ketua Parti Stram Kurs, Rasmu Paludan terpaksa meminta perlindungan polis selepas berdepan ancaman, susulan tindakannya membakar senaskhah Al Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm.

Perbuatan biadab berkenaan dilakukan sebagai tanda bantahan terhadap keengganan Ankara membenarkan membenarkan Sweden dan Finland menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - Getaran, 29 Jun 2023