Malaysia kecam serangan terbaru Israel di Gaza, nyatakan pencabulan gencatan senjata

22 Jan 2026 • 10:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Serangan tersebut jelas melanggar perjanjian gencatan senjata yang diisytiharkan oleh Trump sebagai sebahagian daripada Pelan Damai 20-perkara pada 29 September 2025.

KUALA LUMPUR - Malaysia mengecam keras serangan oleh rejim Israel di Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan wartawan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata, serangan itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, menekankan bahawa serangan tersebut jelas melanggar perjanjian gencatan senjata yang diisytiharkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai sebahagian daripada Pelan Damai 20-perkara pada 29 September 2025.

"Malaysia menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik ini bertanggungjawab mematuhi undang-undang antarabangsa.

"Serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam serta menjejaskan keselamatan dan akses kepada perkhidmatan asas tidak boleh diterima sama sekali dan membantutkan usaha ke arah meredakan ketegangan, demi mencapai keamanan dan kestabilan,” menurut Wisma Putra pada Khamis.

Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan seruannya agar penindasan, kekejaman dan pembunuhan keatas rakyat Palestin dihentikan serta-merta, serta agar semua pihak terlibat kembali komited kearah mencapai penyelesaian yang adil dan keamanan yang berkekalan di Palestin.

Ia juga menegaskan bahawa Malaysia terus menzahirkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi mutlak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved