
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5.2% pada suku ketiga 2025 meletakkan negara di landasan betul untuk mencapai paras tinggi sasaran pertumbuhan 2025 pada 4.0 hingga 4.8%.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan.
“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi, kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,” kata Anwar dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
Menurut kenyataan itu, Kementerian memaklumkan ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2025 dipacu oleh prestasi kukuh merentas semua sektor.
Permintaan domestik yang berdaya tahan terus menjadi peneraju pertumbuhan meskipun berdepan halangan luaran dan ketidaktentuan global di samping kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan mencatatkan sebanyak 5.8% (suku kedua 2025: tujuh peratus), tambah MOF.
Kementerian menjelaskan prestasi permintaan domestik itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta inflasi yang terkawal.
“Pada masa yang sama, usaha berterusan oleh kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta disokong oleh program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menyumbang kepada perbelanjaan pengguna,” tambah MOF.
Pertumbuhan juga didorong oleh peningkatan eksport yang sebahagiannya mencerminkan impak aktiviti perdagangan yang dilakukan lebih awal, menurutnya.
MOF memaklumkan bagi sembilan bulan pertama 2025, ekonomi berkembang sebanyak 4.7% sekali gus membuktikan daya tahan dan asas negara yang kukuh dalam menghadapi cabaran global.
“Prestasi suku ketiga adalah selaras dengan petunjuk ekonomi yang bertambah baik termasuk pasaran buruh dengan jumlah guna tenaga meningkat 3.1% kepada 17.0 juta orang, manakala pengangguran kekal pada kadar tiga peratus, paras sama yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.
“Selain itu, inflasi kekal pada 1.3%, nilai jualan sektor pembuatan turut meningkat 3.5% kepada RM500.1 bilion, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) juga naik sebanyak 4.9% dan jumlah dagangan berkembang 3.7% kepada RM769.8 bilion dengan lebihan dagangan RM50.3 bilion,” jelas MOF.
Menurut Kementerian, dari segi imbangan pembayaran pula akaun semasa imbangan pembayaran mencatatkan lebihan sebanyak RM12.2 bilion atau 2.5% daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang menunjukkan akaun barangan dan perkhidmatan yang berdaya tahan.
Jelas MOF, akaun perkhidmatan pula mencatatkan lebihan sebanyak RM0.7 bilion selepas 14 tahun merekodkan defisit.
Prestasi suku ketiga itu turut sejajar dengan petunjuk ekonomi yang bertambah baik melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan aliran masuk bersih sebanyak RM8.5 bilion, tambah kementerian itu.
“Prestasi ringgit pula menyaksikan ringgit kekal stabil pada RM4.2070 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu meningkat sebanyak 0.1% dan mengukuhkan kedudukan dalam kalangan mata wang berprestasi terbaik di Asia,” menurut MOF.
Menurut kementerian, kerajaan Madani terus komited untuk memajukan agenda kerangka Ekonomi Madani dengan melaksanakan pembaharuan struktur dan fiskal bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing serta menggalakkan pendigitalan dan pelaburan berkualiti tinggi.
Kerajaan kekal teguh dalam usaha untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8% pada 2025 dan 3.5% pada 2026, jelasnya. - 15 November, 2025
The post Malaysia kekal kukuh, sasar pertumbuhan tinggi 2025: PM appeared first on Scoop.


