
KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikhtiar yang lebih tangkas juga akan digerakkan bagi membantu mangsa peperangan Gaza, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.
Menurut beliau, Malaysia amat menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa.
“Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan mantan pengerusi Khaled Mashal.
“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.
“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis,” katanya.
Anwar berada di Qatar bagi lawatan rasmi dua hari atas jemputan Sheikh Tamim sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua negara.
Sepanjang di Qatar, beliau turut menyertai Forum Ekonomi Qatar dan meluncurkan pembukaan rasmi kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha.
Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan syarahan umum di Universiti Hamad Bin Khalifa, Doha, menghadiri rundingan meja bulat dengan kapten industri Qatar dan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Qatar pada sebelah malam. - Getaran, 14 Mei 2024

