Malaysia lakar sejarah baharu dengan hab hidrogen hijau dan loji solar terapung terbesar di Terengganu

12/07/2025 - 15:31
Projek solar terapung hibrid hidro di Tasik Kenyir, Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Julai - Malaysia melakar satu lagi sejarah dalam pelan peralihan tenaganya menerusi pelancaran projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu hari ini.
Inisiatif itu selaras matlamat menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam rantaian nilai hidrogen hijau di samping menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
Hab Hidrogen Hijau tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membangunkan pengeluaran hidrogen serta produk derivatifnya.
TNB turut memperkukuh infrastruktur grid bagi menyokong peralihan tenaga negara dan aspirasi tenaga bersih serantau.
HHFS pula merupakan kerjasama antara anak syarikat penjanaan kuasa TNB, TNB Genco Sdn Bhd dan Terengganu Inc, selaras dengan aspirasi syarikat pelaburan negeri untuk merangsang pertumbuhan sosioekonomi di Terengganu.

Kerjasama itu dimeterai melalui pertukaran dokumen semasa majlis pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir pagi tadi.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid; Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek itu membuktikan Terengganu mempunyai potensi untuk menerajui tenaga hijau dan mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk rakyat.
"Dengan sokongan daripada TNB dan PETRONAS, kami yakin Terengganu boleh menjadi pilihan utama pelaburan tenaga hijau di rantau ini.
"Sebagai cabang pelaburan negeri, Terengganu Inc akan memastikan projek-projek ini mencapai matlamat yang ditetapkan di samping membina bakat tempatan dan pemindahan teknologi.

"Ini adalah peluang terbaik untuk meletakkan Terengganu di pentas dunia sebagai hab tenaga hijau," katanya.
Datuk Ir. Megat Jalaluddin pula berkata, kerjasama strategik itu dapar mempercepatkan usaha penyahkarbonan TNB menerusi teknologi yang terbukti berkesan.
Beliau berkata, kerjasama dalam Hab Hidrogen Hijau Terengganu adalah tonggak utama komitmen TNB dalam memacu inovasi tenaga bersih.
"Projek ini amat penting kepada aspirasi hidrogen hijau Malaysia dan mencerminkan dedikasi kami dalam menjayakan matlamat NETR dan HETR.
“Projek HHFS Kenyir adalah sebahagian daripada inisiatif solar-hidro hibrid 2.5 GW menunjukkan bagaimana TNB memanfaatkan aset sedia ada untuk memaksimumkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
"Loji hidro tersebut berfungsi sebagai sistem simpanan tenaga yang fleksibel, menyimpan air semasa waktu puncak dan melepaskannya semasa luar waktu puncak, bagi menstabilkan grid dan bertindak balas dengan pantas terhadap turun naik permintaan," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Taufik pula menekankan impak transformatif inisiatif ini dengan menyatakan kerjasama strategik tersebut berjaya mengabungkan keupayaan tenaga dan utiliti TNB dengan kepakaran dalam sektor minyak, gas dan tenaga yang telah diasah oleh PETRONAS selama lebih 50 tahun bagi membentuk ekosistem tenaga yang kukuh dan dinamik di Malaysia.
"Dengan memanfaatkan potensi besar hidrogen hijau dan tenaga boleh baharu untuk melengkapi bekalan asas grid nasional yang masih banyak bergantung kepada sumber tenaga konvensional, kerjasama bersejarah ini akan membuka lembaran baharu ke arah jaminan dan kepelbagaian tenaga yang lebih kukuh untuk Malaysia.
"Sebagai rakan strategik, kami komited untuk membekalkan tenaga yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan negara dan serantau dengan membina asas yang kukuh bagi menyokong pelaksanaan NETR," katanya.
Hab Hidrogen Hijau di Terengganu merupakan sebahagian daripada rantaian nilai bersepadu yang merangkumi penjanaan tenaga boleh diperbaharui secara berterusan daripada sumber seperti fasiliti HHFS Kenyir, pengeluaran hidrogen hijau, serta derivatif seperti metanol hijau dan ammonia hijau.
Projek ini akan menjadi yang pertama seumpamanya daripada segi skala dan akan dibangunkan dalam Koridor Kenyir-Kertih untuk memanfaatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan naik taraf infrastruktur grid TNB yang sedang berlangsung di Kenyir, serta kemudahan dan infrastruktur sedia ada PETRONAS termasuk elektroliser hidrogen yang dijangka siap, loji derivatif dan kemudahan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di kawasan Kertih.
Inisiatif ini mengukuhkan lagi peranan TNB dan PETRONAS sebagai syarikat berkaitan kerajaan utama dalam memacu peralihan tenaga Malaysia melalui kerjasama dengan rakan serantau ASEAN dan antarabangsa.
Ia menyokong Grid Kuasa ASEAN, memajukan penyelesaian mampan, memupuk pemindahan ilmu serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Usaha-usaha ini meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga hijau serantau sambil membolehkan perdagangan tenaga rentas sempadan dan integrasi tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com
standard
