'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2024

LocalPolitics
5 Jun 2024 • 5:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema HKHM 2024 di Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook

PUTRAJAYA – "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, umum Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata pemilihan tema itu merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

"Malaysia Madani merupakan tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

"Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif," katanya pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema HKHM 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Mengenai logo HKHM 2024, beliau berkata Jemaah Menteri telah bersetuju mengekalkan logo yang sama seperti tahun sebelumnya. – BERNAMA