Malaysia Madani: Kementerian Perpaduan Negara sokong, promosi program perpaduan

LocalPolitics
16 Jan 2023 • 8:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Kementerian Perpaduan Negara akan menyokong dan mempromosikan pelaksanaan pelbagai program penghayatan perpaduan ke arah pembentukan Malaysia Madani, kata Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang (gambar).

Beliau berkata usaha itu bertujuan melahirkan masyarakat madani dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian antaranya dalam aspek agama, kaum, bangsa dan budaya untuk hidup dalam perpaduan serta keharmonian.

Katanya slogan Malaysia Madani diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi buku tulisannya iaitu SCRIPT For a Better Malaysia yang kini diterjemahkan dalam bahasa Melayu iaitu ‘Membangun Negara Madani’ yang dilancarkan pada November lepas.

“Perdana Menteri ingin menterjamahkan slogan Malaysia Madani kepada masyarakat untuk kita mempunyai kebebasan bersuara dan kebebasan bersama tetapi ia perlu menjurus ke arah perpaduan.

“Program Malaysia Madani juga memberi tumpuan ke arah membentuk satu masyarakat masa depan yang ideal, bertamadun, menghormati antara satu sama lain, menggunakan norma-norma baharu agar kita dapat bergaul dan bekerjasama walaupun berbeza bangsa, agama, bahasa dan budaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Bersama Menteri Perpaduan Negara dan Lawatan ke Muzium Seni Bina yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Datuk Noridah Abdul Rahim.

Aaron berkata slogan Malaysia Madani juga berkemungkinan akan menjadi slogan bagi Kerajaan Perpaduan hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Perpaduan Negara merupakan kementerian pertama yang akan menyokong pelaksanaannya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelbagai inisiatif dan penambahbaikan akan dilaksanakan kementeriannya untuk menguruskan muzium di bawah kerajaan termasuk Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) yang sebelum ini ditempatkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kita akan melihat dari semua aspek tentang muzium yang ada di setiap negeri sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan dan di Melaka terdapat 21 muzium yang menjadi produk pelancongan di negeri ini.

“Kita akan melihat sejauh mana muzium menjadi tumpuan pelancong yang hadir ke Melaka dan jika peratusan pengunjung adalah rendah, kita akan mencari pendekatan yang boleh dilakukan kerana ia juga antara sumber pendapatan yang boleh dijana,” katanya. -Bernama