
PETALING JAYA- Malaysia mahu negara-negara Asia Pasifik mempertahankan keterbukaan ekonomi yang saksama selain ruang kepada setiap negara menentukan hala tuju pembangunan sendiri dalam mendepani persaingan kuasa besar yang semakin sengit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, keterbukaan juga mesti memberi ruang kepada ekonomi membangun bagi memperkukuh kemandirian, berinovasi dan menyertai industri bernilai tinggi.
“Menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 dengan menggariskan gagasan keterbukaan ekonomi yang saksama untuk Asia Pasifik.
“Dalam suasana persaingan kuasa besar yang kian sengit, kita mesti mempertahankan ruang kerjasama dan hak setiap negara untuk menentukan haluan pembangunannya.
“Sementalahan, keterbukaan mesti memberi ruang kepada ekonomi membangun untuk memperkukuh kemandirian, berinovasi dan menyertai industri bernilai tinggi agar manfaat pertumbuhan dinikmati dengan lebih saksama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia turut menyeru agar China dan negara-negara Asia Tenggara memperluas kerjasama dalam kecerdasan buatan dan transformasi digital menerusi penyelidikan serta inovasi bersama.
Katanya, kemajuan teknologi mesti terus berpaksikan etika, kebertanggungjawaban dan maruah insan.
“Berpandu pada Wawasan Putrajaya 2040, Malaysia akan terus menjalin hubungan konstruktif dengan semua rakan demi membina Asia Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman.
“Ukuran sebenar kemajuan ialah peluang yang terbuka dan perubahan yang dirasai dalam kehidupan rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia mahu keterbukaan ekonomi lebih saksama di Asia Pasifik appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Trump, Putin, Xi Jinping rakam gambar bersejarah di APEC](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-18-at-9.34.17-PM-1024x682.jpeg)


